Skip to main content

Dunia

PBB desak AS dedah siasatan insiden serangan sekolah Iran

 Israel strike on a school in Minab
Analisis video oleh beberapa pakar menunjukkan bangunan terbabit terkena peluru berpandu Tomahawk - sejenis peluru berpandu yang hanya dimiliki AS. - Gambar/ Reuters

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Amerika Syarikat segera melengkapkan dan mendedahkan hasil siasatan berhubung serangan maut ke atas sebuah sekolah rendah di Iran, bulan lalu.

Ketua Hak Asasi Manusia Volker Turk, yang membuat desakan itu menyifatkan kejadian berkenaan sebagai “memunculkan rasa ngeri yang mendalam” serta menegaskan keadilan mesti ditegakkan, lapor BBC.

Advertisement

Serangan terhadap Sekolah Shajareh Tayyebeh itu melibatkan dua peluru berpandu yang dilepaskan dalam jarak masa singkat, mengorbankan sekurang-kurangnya 168 orang, termasuk kira-kira 110 murid, menurut pegawai Iran.

Media AS sebelum ini melaporkan bahawa penyiasat tentera percaya serangan itu berkemungkinan dilakukan oleh pasukan AS secara tidak sengaja.

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, sebelum ini mengesahkan insiden berkenaan sedang disiasat.

Jika penglibatan AS disahkan, ia bakal menjadi antara insiden korban awam paling buruk melibatkan tentera Amerika dalam beberapa dekad konflik di Timur Tengah.

Turk berkata imej bilik darjah musnah dan ibu bapa yang berkabung jelas menunjukkan bahawa “orang awam yang tidak mempunyai kuasa dalam keputusan peperanganlah yang menanggung harga tertinggi”.

Beliau menekankan bahawa pihak yang melancarkan serangan bertanggungjawab melakukan siasatan yang segera, telus dan menyeluruh.

Dalam sesi tergempar Majlis Hak Asasi Manusia PBB, Turk sekali lagi menggesa siasatan AS diselesaikan segera dan laporan penuh didedahkan kepada umum.

Iran melalui Menteri Luar, Abbas Araghchi, dalam ucapan video menegaskan serangan itu adalah tindakan “sengaja dan berbaur niat” oleh AS, dan menyeru masyarakat antarabangsa tidak berdiam diri.

Awal bulan ini, hampir semua Senator Demokrat AS menulis surat kepada Hegseth menuntut penjelasan terperinci mengenai serangan di Minab, termasuk persoalan sama ada analisis sasaran lama atau rosak menyebabkan sekolah tersilap dibom.

Pentagon berkata pihaknya akan menjawab surat itu secara terus kepada para senator seperti amalan biasa.

Hegseth sebelum ini menegaskan AS tidak mensasarkan orang awam dan siasatan masih berjalan.

The New York Times pula melaporkan bahawa koordinat sasaran serangan itu telah dihasilkan menggunakan data lapuk yang dibekalkan Agensi Risikan Pertahanan (DIA).

Sasaran asal serangan tersebut ialah pangkalan berhampiran milik Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC), yang suatu ketika dahulu merupakan sebahagian daripada kompleks sekolah itu.

Namun Reuters melaporkan bahawa imejan satelit sejak 2015 menunjukkan bangunan sekolah itu telah dipisahkan dengan tembok dan beroperasi sepenuhnya sebagai sekolah sekurang-kurangnya sejak 2018.

Analisis video oleh beberapa pakar menunjukkan bangunan terbabit terkena peluru berpandu Tomahawk - sejenis peluru berpandu yang hanya dimiliki AS.

Video disiarkan agensi berita Mehr dan disahkan sahih oleh BBC Verify turut menunjukkan detik peluru berpandu menghampiri sasaran, menguatkan lagi kemungkinan operasi itu dilakukan AS.

 


 

Must Watch Video