PBB desak AS kembali sertai proses semakan hak asasi manusia

UNHRC meluluskan keputusan yang menzahirkan kekesalan terhadap keengganan Amerika Syarikat untuk menyertai semakan itu.
GENEVA: Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) pada Jumaat menggantung sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) pusingan keempat selepas Amerika Syarikat gagal hadir, sekali gus meluluskan keputusan yang menyeru Washington kembali terlibat dalam mekanisme berkenaan, lapor Xinhua.
Pada Ogos lalu, Amerika Syarikat memaklumkan kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia (OHCHR) bahawa ia tidak akan menyertai pusingan semakan kali ini, sekali gus menyebabkan proses interaktif tidak dapat dijalankan seperti yang dirancang.
Dalam sesi berkenaan, UNHRC meluluskan keputusan yang menzahirkan kekesalan terhadap keengganan Amerika Syarikat untuk menyertai semakan itu.
Majlis turut menggesa negara berkenaan kembali terlibat dalam mekanisme berkenaan dan meminta Presiden UNHRC melaporkan langkah yang diambil bagi memulihkan kerjasama terbabit.
Keputusan itu juga menetapkan penangguhan semakan UPR pusingan keempat Amerika Syarikat kepada 2026.
Semakan Berkala Sejagat (UPR) dianggap sebagai platform penting dalam rangka kerja PBB bagi membolehkan negara-negara anggota bertukar pandangan mengenai isu hak asasi manusia.
Sejak pusingan pertama UPR dimulakan pada 2008, semua 193 negara anggota PBB telah menjalani tiga semakan.
Pusingan keempat yang bermula pada 2022 kini sedang berjalan.
Amerika Syarikat sebelum ini menjalani semakan pada 2010, 2015 dan 2020.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


