DUNIA
PBB kecam peningkatan serangan maut tentera Israel di Bandar Gaza

PBB mengulangi gesaan "agar orang awam dan petugas kemanusiaan dilindungi serta undang-undang antarabangsa dihormati sepenuhnya." - Gambar Reuters
HAMILTON (Kanada): Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin mengecam "peningkatan serangan maut" oleh tentera Israel di seluruh Bandar Gaza, sambil memberi amaran mengenai kesan buruk terhadap orang awam yang sudah berdepan kebuluran dan pemindahan, lapor Anadolu Ajansi.
"Kami mengecam peningkatan serangan maut oleh tentera Israel yang berlaku sepanjang hujung minggu di Bandar Gaza, dengan puluhan orang dilaporkan terbunuh atau cedera. Seperti anda bayangkan, ini memberi kesan amat buruk terhadap orang awam yang menanggung penderitaan dan kebuluran," kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric pada sidang akhbar.
Dujarric mengulangi gesaan PBB "agar orang awam dan petugas kemanusiaan dilindungi serta undang-undang antarabangsa dihormati sepenuhnya."
Beliau berkata, rakan kongsi PBB yang memantau pergerakan penduduk di Gaza menganggarkan hampir 70,000 orang berpindah ke selatan, khususnya ke Deir al-Balah dan Khan Younis. Dalam tempoh sebulan lalu, kira-kira 150,000 orang berpindah dari utara ke selatan.Beliau turut menekankan situasi kemanusiaan yang semakin merosot dengan berkata: "Rakan kongsi kami melaporkan bahawa satu pertiga fasiliti rawatan malnutrisi di Bandar Gaza telah ditutup berikutan arahan pemindahan paksa."
Dujarric menambah bahawa klinik di Deir al-Balah juga menggantung perkhidmatan, manakala "lebih separuh ambulans kini tidak berfungsi, dengan jumlah ambulans yang sangat terhad untuk berkhidmat kepada ribuan orang."
Merujuk kepada Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), beliau berkata "daripada 17 misi yang diselaraskan pasukan kami dengan pihak berkuasa Israel, hanya empat dibenarkan."
"Tujuh misi ditolak, termasuk penghantaran tangki air ke utara," kata jurucakap itu.
Beliau menegaskan bahawa "rakan kemanusiaan kami terus menggesa akses kemanusiaan tanpa halangan. Bantuan harus disalurkan secara besar-besaran melalui pelbagai lintasan masuk ke Gaza, termasuk kawasan utara."
Menyorot cabaran infrastruktur di lapangan, Dujarric turut menyatakan bahawa "77 peratus rangkaian jalan raya di Gaza telah rosak, dengan wilayah Gaza dan Khan Younis paling teruk terjejas."
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami