HAMILTON (CANADA): Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Jumaat menyuarakan kekecewaan selepas persidangan utama PBB mengenai usaha mencegah percambahan senjata nuklear berakhir tanpa persetujuan dalam kalangan negara peserta, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Setiausaha Agung menyuarakan kekecewaan terhadap kegagalan Persidangan Kajian Semula Ke-11 Pihak-Pihak kepada Perjanjian Mengenai Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) mencapai konsensus berhubung hasil substantif dan memanfaatkan peluang penting ini untuk menjadikan dunia lebih selamat,” kata jurucakapnya Stephane Dujarric dalam kenyataan.
NPT ialah perjanjian antarabangsa yang bertujuan mencegah percambahan senjata nuklear, menggalakkan pelucutan senjata nuklear dan menyokong penggunaan tenaga nuklear secara aman.
Dujarric berkata Guterres “mengalu-alukan penglibatan ikhlas dan bermakna oleh negara-negara pihak”, namun kesal kerana Persidangan Kajian Semula itu “gagal mencapai sasaran, khususnya ketika cabaran mendesak semakin mengancam keselamatan antarabangsa”.
“Persekitaran antarabangsa ketika ini yang dicirikan oleh ketegangan mendalam dan peningkatan risiko berkaitan senjata nuklear, menuntut tindakan segera,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa Ketua PBB menyeru negara-negara “memanfaatkan sepenuhnya semua ruang dialog, diplomasi dan rundingan yang tersedia bagi mengurangkan ketegangan, menurunkan risiko nuklear dan akhirnya menghapuskan ancaman nuklear”.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa “dunia bebas senjata nuklear kekal sebagai keutamaan tertinggi PBB dalam bidang pelucutan senjata”.
Guterres juga mengucapkan terima kasih kepada Presiden Persidangan Kajian Semula Ke-11, Do Hung Viet atas usaha penuh dedikasi beliau sepanjang persidangan itu, yang bertujuan memperkukuh perjanjian berkenaan dan memajukan matlamatnya.
-- BERNAMA-ANADOLU