Skip to main content

Dunia

PBB: Lebih satu juta penduduk Lubnan hilang tempat tinggal susulan serangan Israel

Displaced people gather near tents, following an escalation between Hezbollah and Israel amid the U.S.-Israeli conflict with Iran, in Beirut, Lebanon, March 19, 2026. REUTERS/Khalil Ashawi
Dianggarkan lebih satu juta orang kini hilang tempat tinggal, termasuk 367,000 kanak-kanak. - Foto Reuters

HAMILTON (KANADA): Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu memberi amaran bahawa lebih satu juta penduduk hilang tempat tinggal di Lubnan susulan serangan Israel yang semakin memuncak di seluruh negara itu, dengan hampir satu pertiga daripada mereka yang terjejas adalah kanak-kanak, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Sepanjang malam hingga awal pagi, serangan Israel ke atas bahagian tengah Beirut dilaporkan menyebabkan lebih banyak korban jiwa,” kata jurucakap PBB Farhan Haq pada sidang media, sambil menambah kawasan kediaman turut diserang sehingga menyebabkan sebuah bangunan bertingkat runtuh.

Advertisement

Merujuk kepada serangan Israel ke atas kemudahan kesihatan, Haq berkata: “Awal hari ini, pihak berkuasa melaporkan tiga hospital kerajaan mengalami kerosakan besar akibat serangan Israel, sekali gus mencederakan petugas kesihatan.”

Beliau menambah bahawa “lebih satu juta orang kini hilang tempat tinggal, termasuk 367,000 kanak-kanak - iaitu hampir satu pertiga daripada jumlah itu,” ketika pertempuran antara tentera Israel dan kumpulan bersenjata di Lubnan tidak menunjukkan tanda akan reda.

Memetik Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL), Haq melaporkan keadaan keselamatan di kawasan operasinya semakin meruncing.

Beliau menyatakan berlaku “insiden berbalas tembakan yang sengit, peningkatan aktiviti udara dan darat serta kehadiran lebih ramai tentera Israel di dalam wilayah Lubnan.”

Mengulangi kebimbangan terhadap arahan pemindahan baharu Israel yang “menjejaskan orang awam di kedua-dua belah Garisan Biru,” PBB menggesa semua pihak supaya mengelakkan keadaan daripada menjadi lebih buruk.

“Kami terus menyeru supaya ketegangan diredakan dan menggesa semua pihak menggunakan saluran diplomatik serta komited terhadap pelaksanaan penuh Resolusi Majlis Keselamatan 1701,” kata Haq.

Israel memperluas serangan ketenteraannya ke atas Lubnan selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Feb lepas.

Pada 2 Mac, kumpulan Hizbullah menyerang sebuah tapak tentera di utara Israel sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkan sebagai serangan berterusan Israel ke atas Lubnan walaupun terdapat gencatan yang senjata berkuat kuasa antara Israel dan Lubnan pada November 2024, selain pembunuhan Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan udara bersama AS-Israel.

Menurut pihak berkuasa Lubnan, serangan Israel ke atas negara itu telah mengorbankan 912 orang, termasuk 111 kanak-kanak dan 67 wanita, serta mencederakan 2,221 yang lain, termasuk 334 kanak-kanak dan 375 wanita, manakala lebih satu juta orang hilang tempat tinggal.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video