Skip to main content

Dunia

PBB perluas bantuan untuk Asia Barat

81727972287_lubnanterkini.jpg
Krisis telah menjangkau kawasan geografi yang luas, dengan akibat yang teruk di kawasan padat penduduk. - Gambar fail

NEW YORK: Meskipun ketegangan masih berterusan, usaha bantuan dipertingkatkan merentasi Asia Barat namun berdepan cabaran oleh kehilangan kediaman besar-besaran di Lubnan dan kekangan akses bantuan di Gaza, kata anggota kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu, lapor Xinhua.

Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memaklumkan Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB Tom Fletcher memperuntukkan AS$12 juta pada Selasa daripada Tabung Tindak Balas Kecemasan Pusat (CERF) untuk menyokong usaha kemanusiaan di Iran.

Advertisement

Menurut OCHA pihak berkuasa di Tehran melaporkan bahawa antara 28 Feb, ketika serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran bermula, dan 8 April, apabila gencatan senjata yang rapuh dilaksanakan, lebih 2,360 kematian direkodkan termasuk 257 wanita dan 220 kanak-kanak selain puluhan ribu kecederaan.

Keganasan itu telah memberi impak berat pada rawatan trauma, pengurusan luka terbakar dan perkhidmatan kesihatan primer.

Serangan AS-Israel turut menjejaskan rumah, sekolah, kemudahan kesihatan, rumah jagaan, gudang kemanusiaan dan air, tenaga, sistem pengangkutan, serta infrastruktur kritikal lain di seluruh negara, termasuk gangguan perkhidmatan penting.

Menurut OCHA walaupun gencatan senjata telah meredakan rasa tidak selamat, kemusnahan yang meluas, runtuhan dan sisa letupan atau toksik konflik terus menghalang orang ramai daripada mengakses perkhidmatan asas dan menghalang usaha menyelamat serta tindak balas.

Krisis menjangkau kawasan geografi yang luas, dengan akibat yang teruk di kawasan padat penduduk.

Pejabat itu menyatakan pembiayaan CERF untuk Iran akan menyokong aktiviti menyelamatkan nyawa dan, jika boleh, aktiviti tindak balas akan dilaksanakan menerusi rakan kongsi tempatan, selaras dengan usaha berskala besar yang diketuai kerajaan.

Di Lubnan, menurut OCHA, peningkatan jumlah korban dan permusuhan yang berterusan mendorong keperluan kemanusiaan lebih tinggi di seluruh negara.

Kementerian Kesihatan Awam melaporkan lebih 2,100 orang terbunuh dan lebih 6,900 cedera sejak 2 Mac, dan pencerobohan Israel telah menyebabkan lebih 1.2 juta orang kehilangan tempat tinggal.

"Di seluruh selatan dan timur Lubnan, puluhan lokasi dilanda serangan setiap hari," menurut pejabat itu.

"Laporan menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 35 kampung di selatan telah diserang pada Selasa, dengan kerosakan yang meluas di kawasan kediaman."

OCHA amat prihatin dengan situasi di daerah Bint Jbeil di Kegubernuran Nabatieh, dengan laporan pertempuran bersenjata sejak Isnin terus menyekat pergerakan orang awam dan mengehadkan akses mereka kepada perkhidmatan penting dan bantuan kemanusiaan.

Agensi Pelarian PBB dan lain-lain melaporkan telah menyampaikan bantuan kepada lebih 90,000 orang yang kehilangan tempat tinggal di 448 tempat perlindungan kolektif dan dalam komuniti tuan rumah dengan sokongan psikososial dan perkhidmatan perlindungan lain.

Mereka memberi tumpuan pada mereka yang paling berisiko, termasuk keluarga yang mengalami kehilangan tempat tinggal berulang, kanak-kanak dan orang kurang upaya.

"Memandangkan keadaan terus merosot, PBB terus menyeru agar perang dihentikan dengan kadar segera, penghormatan penuh terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa termasuk perlindungan orang awam, akses kemanusiaan yang berterusan dan tanpa halangan serta dan peningkatan pembiayaan," kata OCHA.

Di Gaza, badan dunia dan rakan-rakan agensi kemanusiaannya terus menyampaikan bantuan walaupun menghadapi halangan berterusan.

Agensi PBB untuk pelarian Palestin, dikenali sebagai UNRWA, melaporkan terpaksa mengurangkan waktu operasi penjana elektrik di kemudahannya pada minggu pertama April ketika mereka menghampiri tahap kritikal kegagalan mekanikal.

"Kemudahan itu menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada kumpulan rentan," menurut OCHA.

"PBB dan rakan kemanusiaannya memerlukan kelulusan tambahan untuk membawa masuk alat ganti dan pelincir yang sangat diperlukan ke Gaza bagi mengelakkan gangguan selanjutnya."

Ditanya pada taklimat sama ada alat ganti penjana disekat daripada memasuki Gaza kerana ia dianggap barangan dwiguna, Farhan Haq, timbalan jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, berkata perkara itu pernah berlaku pada masa lalu dan kebimbangan telah dibangkitkan.

"Apa yang kami cuba beritahu pihak berkuasa Israel ialah ini adalah bahagian yang diperlukan untuk kami memastikan kemudahan kami berfungsi," kata Haq.

OCHA berkata rakan kongsinya terus menyampaikan perkhidmatan pemakanan pencegahan dan terapeutik kepada kanak-kanak perempuan dan lelaki.

Bulan lepas, mereka menyaring lebih 72,000 kanak-kanak dan mengenal pasti kira-kira 2,700 mengalami kekurangan zat makanan akut dan menyediakan ribuan makanan terapeutik.

"Pada minggu pertama bulan ini, rakan kongsi yang bekerja dalam perlindungan kanak-kanak menganjurkan aktiviti kaunseling dan rekreasi untuk kira-kira 4,700 kanak-kanak," menurut pejabat itu.

"Aktiviti ini membantu kanak-kanak menghadapi kehilangan tempat tinggal yang berterusan dan keadaan kemanusiaan yang teruk."

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video