PBB tuduh Israel amal dasar ‘aparteid’ di Tebing Barat

Volker Türk menyifatkan keadaan di Tebing Barat sebagai satu bentuk penderaan sistematik terhadap hak rakyat Palestin. -Gambar fail/AP
GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh Israel mengamalkan sistem ‘aparteid’ di Tebing Barat yang diduduki, dengan mendakwa diskriminasi dan pengasingan sistematik terhadap rakyat Palestin semakin memburuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Dalam laporan terbaharu yang dikeluarkan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR), Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Türk, menyifatkan keadaan di Tebing Barat sebagai satu bentuk penderaan sistematik terhadap hak rakyat Palestin.
“Setiap aspek kehidupan rakyat Palestin — sama ada untuk mendapatkan air, ke sekolah, ke hospital, melawat keluarga atau menuai zaitun — dikawal dan disekat oleh undang-undang, dasar dan amalan diskriminasi Israel,” katanya dalam kenyataan rasmi.
Laporan itu menyatakan pihak berkuasa Israel mengendalikan dua sistem undang-undang berbeza — satu untuk penduduk Yahudi Israel dan satu lagi untuk rakyat Palestin — yang mengakibatkan layanan tidak seimbang dalam pelbagai aspek kehidupan.
PBB menegaskan bentuk diskriminasi ini menyerupai sistem aparteid yang pernah wujud dalam sejarah, dan buat pertama kali istilah itu digunakan secara rasmi oleh seorang Pesuruhjaya Tinggi PBB.
Laporan turut menyorot peningkatan keganasan oleh penduduk penempatan haram terhadap komuniti Palestin, rampasan tanah, perobohan rumah, serta penahanan sewenang-wenangnya terhadap ribuan rakyat Palestin, kebanyakannya tanpa pertuduhan atau perbicaraan di bawah sistem “penahanan pentadbiran”.
Sejak permulaan konflik di Gaza pada Okt 2023, lebih 1,000 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat akibat tindakan tentera dan penduduk penempatan Israel, manakala hanya satu sabitan direkodkan daripada lebih 1,500 kes pembunuhan yang berlaku sejak 2017.
PBB menggesa Israel menamatkan kehadiran secara haram di wilayah Palestin yang diduduki, membongkar semua penempatan haram dan mengundurkan semua penduduk penempatan, serta menghormati hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.
Setakat ini, kerajaan Israel belum mengeluarkan kenyataan balas terhadap laporan tersebut.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

