REMBAU: “Saya ingatkan arwah bergurau bila kata tidak akan kembali lagi, tetapi rupanya dia benar-benar pergi buat selama-lamanya.”
Demikian luahan Norasiyah Raduan, 41, ibu kepada Muhammad Dafi Asyraff Kharul Asry, 12, yang ditemukan meninggal dunia akibat lemas selepas terjatuh ke dalam loji rawatan kumbahan di Taman Widuri Indah di sini pada Ahad.
Advertisement
Menurutnya, arwah memberitahu demikian ketika dia pulang ke rumah secara tiba-tiba selepas keluar kira-kira setengah jam.
“Lebih kurang dekat jam 12 tengah hari dia beritahu nak keluar bermain.
“Tetapi beberapa minit selepas itu, arwah tiba-tiba balik ke rumah dan apabila saya tanya kenapa, dia kata nak ambil barang dan tidak akan kembali lagi,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau di sini pada Isnin.
Bagaimanapun, ujarnya, dia tidak mengambil serius kenyataan tersebut sehinggalah sekitar jam 2 petang apabila dua anaknya yang berusia 10 tahun pulang memberitahu bahawa abang mereka sudah tiada kerana terjatuh ke dalam kolam.
Kata Norasiyah, dia menangis bagaikan orang gila apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu dan segera meminta bantuan jiran untuk menghubungi bomba serta menghantarnya ke lokasi kejadian.
“Saya tak sangka rupa-rupanya anak-anak pergi ke kolam itu untuk memancing, biasanya mereka keluar dekat saja.
“Memang tiga hari lalu dia dah beritahu nak pergi memancing supaya senang saya nak memasak. Tetapi saya tak benarkan,” katanya.
Sementara itu, datuk kepada Allahyarham, Kamal Ariffin Aziz, 65, berkata, kolam tersebut sebenarnya berpagar, namun dipercayai telah diceroboh individu tidak bertanggungjawab untuk melakukan aktiviti memancing dan mandi.
“Kawasan kolam ini sebenarnya agak tersorok dan tidak ramai yang tahu kerana terselindung dengan semak samun. Salah seorang anak saya juga tinggal di sana, tetapi tidak tahu akan kewujudannya.
“Saya difahamkan kolam ini sudah lama terbiar, tetapi nampak seperti pagarnya sudah rosak, tak tahulah perbuatan siapa,” katanya.
Beliau turut dimaklumkan bahawa ada individu yang pernah melihat orang memancing dan mandi di situ.
Justeru, beliau berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan sewajarnya supaya kejadian sama tidak berulang lagi.
Mengulas mengenai cucunya itu, Kamal Ariffin berkata, Allahyarham disifatkan sebagai seorang anak yang boleh diharap untuk menjaga adik-adiknya.
“Saya ada 12 cucu dan rapat dengan semua. Lagipun rumah kami dekat, jadi selalu juga saya lawat mereka dan arwah memang budak yang baik,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan pasukan bomba menerima maklumat kejadian pada jam 2.22 petang dan mangsa berjaya ditemukan pada jam 2.49 petang menggunakan peralatan ‘grappling iron’. - Sinar Harian