Skip to main content

Dunia

Pegawai ASEAN berhimpun tangani impak krisis Asia Barat terhadap bekalan tenaga

ASEAN
Semasa mesyuarat, negara anggota ASEAN dan rakan dialog berkongsi kemas kini mengenai keadaan bekalan semasa serta membincangkan kerjasama untuk mempelbagaikan bekalan. - Gambar hiasan

MANILA: Filipina, Pengerusi ASEAN bagi tahun ini, telah menghimpunkan pegawai-pegawai kanan untuk menilai impak situasi Asia Barat yang sedang berkembang terhadap pasaran tenaga global dan serantau, lapor Xinhua memetik kenyataan Jabatan Tenaga pada Ahad.

Mesyuarat itu memberi tumpuan kepada kestabilan bekalan minyak dan gas, turun naik harga serta kemungkinan gangguan rantaian bekalan.

Advertisement

Semasa mesyuarat secara maya pada Jumaat, negara anggota ASEAN dan rakan dialog berkongsi kemas kini mengenai keadaan bekalan semasa serta membincangkan kerjasama untuk mempelbagaikan bekalan, meningkatkan akses kepada sumber tenaga, menambah baik ketelusan pasaran dan memperkukuh penyelarasan tindak balas kecemasan.

Taklimat teknikal turut mengetengahkan kekangan dalam laluan bekalan utama dan peralihan aliran perdagangan global yang memberi kesan kepada rantau ini. 

Pegawai-pegawai menegaskan keperluan untuk memperkukuh sistem pemantauan, menambah baik ketelusan data dan memajukan strategi untuk pegangan stok strategik serta rizab kecemasan, dengan mengambil kira keadaan di negara masing-masing.

Dalam kenyataan berasingan, blok serantau itu berkata peserta menekankan kepentingan meningkatkan kesiapsiagaan kolektif ASEAN dan mekanisme tindak balas, selain memperkukuh perpaduan serantau serta tindakan dasar yang diselaraskan untuk mengurus risiko yang muncul.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video