INTERNATIONAL
Pegawai Jerman bantah tarif, seru tingkat hubungan ekonomi dengan China

Kapal membawa kontena di sebuah pelabuhan di Frankfurt, Jerman. - Gambar hiasan/ AP
BERLIN: Ketegangan perdagangan yang semakin memuncak dan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat boleh menjejaskan ekonomi global serta memberi risiko besar kepada sektor pembuatan Jerman, kata Hubert Aiwanger, Timbalan Ketua Menteri Bavaria dalam satu temu bual baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Ketegangan perdagangan dan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat boleh menjejaskan ekonomi global serta memberi risiko besar kepada sektor pembuatan Jerman.
- Kepentingan sistem perdagangan antarabangsa yang berasaskan peraturan dan sokongan penuh terhadap kerjasama ekonomi berterusan dengan China.
- Kerjasama ekonomi antara Bavaria dan China kekal kukuh, dengan nilai dagangan dua hala hampir dua kali ganda dalam tempoh sedekad.
"Halangan perdagangan hanya mengundang tindakan balas dan kerugian ekonomi.
"Apa yang diperlukan oleh perniagaan dan rakyat kita ialah kerjasama antarabangsa yang terbuka, adil dan stabil," katanya.
Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat di Jerman terhadap rancangan pentadbiran Trump untuk melaksanakan tarif baharu secara besar-besaran, yang dijangka memberi kesan kepada pengeluar automotif global seperti BMW yang beribu pejabat di Bavaria.
Tarif yang dikenakan pada pelbagai peringkat -- daripada import barangan China hingga eksport ke AS -- mewujudkan persekitaran tidak mesra bagi syarikat berintegrasi global.
Aiwanger menggesa negara-negara ekonomi utama menyelesaikan pertikaian perdagangan melalui dialog dan kerjasama.
"Jalan terbaik ke hadapan ialah membina pasaran global dengan tarif minimum dan peraturan persaingan yang adil," katanya.
Dalam konteks ini, Aiwanger menyambut baik kehadiran syarikat-syarikat China di Eropah, dengan menyifatkan pengembangan NIO sebagai contoh kerjasama yang saling menguntungkan. NIO baru-baru ini membuka stesen pertukaran bateri ke-60 di Eropah.
"Kami mengalu-alukan syarikat inovatif seperti NIO untuk melabur dan beroperasi di Bavaria," katanya, sambil menambah bahawa kerjasama sedemikian menyokong usaha Bavaria ke arah mobiliti elektrik dan tenaga hijau.
Beliau turut menekankan bahawa model pertukaran bateri dapat menangani kebimbangan pengguna Jerman terhadap jarak perjalanan kenderaan elektrik dan kemudahan pengecasan.
Hubungan ekonomi antara Bavaria dan China kekal kukuh. Sebagai antara negeri perindustrian utama Jerman dan lokasi utama bagi syarikat seperti Siemens, Allianz dan Audi, Bavaria kini menjadi tuan rumah kepada kira-kira 500 syarikat China.
Nilai dagangan dua hala hampir dua kali ganda dalam tempoh sedekad -- daripada 27 bilion euro (US$30.51 bilion) pada 2013 kepada 53 bilion euro pada 2023, menurut statistik kerajaan Bavaria.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami