Skip to main content

Dunia

Pek bantuan makanan beri ‘nafas’ kepada pelarian Palestin di bulan Ramadan

BANTUAN MAKANAN PALESTIN
Menurut Ahmad Abbas, keadaan para pelarian semakin terhimpit akibat dasar pekerjaan di Lubnan yang mengehadkan beberapa sektor pekerjaan terhadap warga Palestin.

BEIRUT: Sebanyak 170 pek bungkusan barangan asas untuk memasak diagihkan kepada pelarian Palestin yang tinggal di Kem Ein El-Hilweh di Beirut, Lubnan pada Isnin.

Sumbangan tersebut diagihkan oleh Karisma Humanitarian Outreach Mission (KHOM) Malaysia melalui misi talian hayat pada musim sejuk bagi membantu para pelarian yang hidup dalam kesempitan setelah hampir tujuh dekad menetap di negara jiran.

Advertisement

Ahmad Abbas Salibi, 49, berkata, keadaan para pelarian semakin terhimpit akibat dasar pekerjaan di Lubnan yang mengehadkan beberapa sektor pekerjaan terhadap warga Palestin.

Malah beliau turut menyatakan, bantuan daripada Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) juga berkurangan berbanding sebelum ini.

“Kami hidup dalam kemurungan dan merasakan seolah-olah tiada siapa yang menjaga dan membantu kami,” katanya ketika ditemu bual oleh Astro AWANI.

Image
BANTUAN MAKANAN PALESTIN
Sebanyak 170 pek bungkusan barangan asas untuk memasak diagihkan kepada pelarian Palestin yang tinggal di Kem Ein El-Hilweh di Beirut, Lubnan pada Isnin. - Gambar Astro AWANI

Namun, pada masa sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada warga Malaysia yang menyalurkan bantuan serta sering menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

“Bantuan anda memberikan kebahagiaan kepada kami yang berada di Lubnan (namun) rakyat Malaysia masih memikirkan keadaan kami, secara psikologi, bantuan ini berimpak tinggi buat kami,” katanya.

Pengerusi KHOM Malaysia, Nik Marina Datuk Hussin berpendapat, kebanyakan pelarian Palestin mempunyai kadar literasi yang tinggi namun bakat terhalang akibat dasar negara tuan rumah yang enggan mengiktiraf kebolehan mereka.

Beliau turut menyifatkan pek bantuan tersebut adalah kotak harapan bagi para pelarian yang terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah, warga emas dan golongan wanita.

“Jadi kotak-kotak barangan makanan ini adalah harapan buat mereka (warga pelarian) yang datang daripada rakyat Malaysia,” kata Marina.

Pada Februari 2024, UNRWA dalam kenyataannya berkata, agensi tersebut berdepan krisis kewangan untuk membantu pelarian Palestin akibat Israel mendakwa kakitangannya terlibat dalam serangan 7 Oktober.

Susulan daripada dakwaan tersebut beberapa penderma utama dari Amerika Syarikat dan Jerman menggantung sementara pembiayaan tersebut sementara PBB menyiasat dakwaan tersebut.

Untuk rekod terdapat hampir 250,000 pelarian Palestin yang menetap di 12 kem pelarian di sekitar Lubnan sejak diusir oleh pendatang yahudi ketika peristiwa Nakbah pada 1948.

Image
BANTUAN MAKANAN PALESTIN
Marina menyampaikan pek bantuan barangan asas untuk memasak kepada seorang pelarian Palestin. - Gambar Astro AWANI

 

Must Watch Video