NEW DELHI:Pekerja pembersihan Manish Kumar menjadi individu pertama di India menerima vaksin COVID-19 pada Sabtu selepas Perdana Menteri Narendra Modi melancarkan antara program vaksinasi terbesar di dunia bagi mengekang penularan virus itu.

Golongan pertama yang menerima vaksin termasuk petugas barisan hadapan seperti pekerja kesihatan dan pembersihan, diikuti oleh golongan warga emas berusia lebih 50 tahun dan pesakit yang berisiko mengalami gejala teruk COVID-19.

Dalam ucapannya menerusi sidang video, Modi dilihat cuba menahan sebak dan air matanya daripada mengalir ketika memberi penghormatan kepada petugas kesihatan.

“Wabak ini mengasingkan orang daripada ahli keluarga dan ibu-ibu daripada anak, manakala mereka yang menjadi korban penyakit ini tidak dapat mengucapkan selamat tinggal kepada ahli keluarga mereka,” kata Modi.

Kerajaan India menyasarkan seramai 300,600 individu divaksinkan pada hari pertama.

India, negara kedua paling teruk terjejas akibat pandemik itu selepas Amerika Syarikat, merancang untuk memvaksinkan 300 juta orang dengan dua dos dalam tempoh enam hingga lapan bulan pertama tahun ini.

Rakyatnya bagaimanapun tidak diberi kuasa untuk memilih antara vaksin Universiti Oxford-AstraZeneca dan vaksin buatan Bharat Biotech.

Kerajaan India telah membeli 11 juta dos vaksin Covishield AstraZeneca yang dihasilkan oleh Serum Institute of India, serta 5.5 juta dos Covaxin buatan Bharat Biotech.

Covishield mempunyai 72 peratus kadar keberkesanan manakala hasil ujian klinikal terakhir Covaxin dijangka dikeluarkan pada Mac depan.

BACA: Indonesia: Influencer antara golongan pertama terima vaksin

BACA: Amerika Syarikat: Jururawat individu pertama disuntik vaksin COVID-19