Seorang pelancong Malaysia ditemui mati di dalam biliknya di Phuket semalam, dengan polis tempatan mengesyaki penggunaan alkohol secara berlebihan sebagai punca kematiannya.

Ketua Polis Patong Lt Kol Jongserm Preecha memberitahu media tempatan hari ini, lelaki tersebut dikenali sebagai Lee Tzu Yuen, 38, dan menginap di rumah tumpangan di Soi San Sabai.

Menurutnya, tiada tanda pergelutan atau bilik itu digeledah.

"Seorang pekerja rumah tumpangan berkenaan mengetuk pintu bilik mangsa beberapa kali untuk mengemasnya pada pukul 2 petang semalam tetapi tiada jawapan sebelum meminta bantuan pihak pengurusan bagi membuka bilik tersebut," katanya.

Sebaik pintu dibuka, pihak pengurusan menemui mayat mangsa dalam keadaan bogel.

Jongserm berkata, Kedutaan Malaysia di Thailand sudah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Patong untuk bedah siasat, katanya.

-- BERNAMA