Setahun berlalu sejak kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, namun tiada satu pun petunjuk yang menjurus ke arah penemuannya.

Hakikatnya, pencarian pesawat malang itu semakin hari menjadi semakin sukar.

Perkara tersebut dinyatakan Ketua Bahagian Alam Sekitar GeoScience Australia, Dr Stuart Minchin.

Menurutnya, walaupun misi pencarian tersebut menggunakan teknologi terkini yang canggih, namun cabaran yang ditempuhi begitu mencabar sekali gus menyukarkan operasi.

“Pencarian pesawat MH370 sekarang ini menggunakan sistem sonar multi pancaran berteknologi tinggi untuk operasi di kawasan dalam.

“Sistem sonar multi pancaran ini menggunakan frekuensi berbeza mengikut kedalaman air tertentu. Sebagai contoh, frekuensi tinggi (lebih dari 100 kilohertz) digunakan untuk kawasan laut cetek manakala frekuensi rendah (kurang daripada 30 kilohertz) digunakan untuk laut dalam.

“Kedalaman air sehingga enam kilometer dalam kawasan pencarian pesawat MH370 menjadikan usaha pemetaan terperinci lantai laut lebih mencabar walaupun dengan teknologi tercanggih.

“Kawasan pencarian adalah sangat kompleks kerana terdapat pembentukan tinggalan gunung berapi, jurang, ngarai dan gunung dasar laut,” kata Minchin kepada Astro AWANI.

#SETAHUNMH370: KONGSI INGATAN ANDA

Dalam pada itu, Minchin berkata beberapa perincian ciri dasar laut yang selama ini tidak diketahui dan dipetakan, sudahpun diteroka.

“Misalnya, kita telah temui struktur rabung selebar 6km, sepanjang 15km dan setinggi 1.5km terbentuk di atas lantai laut sebelumnya. Kita juga telah temui sisa gunung berapi dengan ukuran diameter 14km dan setinggi 2.2km.

“Sebuah struktur bukit volkanik dengan diameter 1.5km dan 400 meter tinggi dan juga banyak lekukan seperti kawah yang sedalam 800 meter berbanding lantai laut di sekitarnya.

“Kedalaman laut di kawasan pencarian berbeza-beza daripada 630 meter di kawasan cetek hingga menjunam ke lebih 6,000 meter di kawasan dalam.

“Data batimetri yang dikumpul di kawasan pencarian menunjukkan perbezaan kedalaman sehingga 1,400 meter di beberapa lokasi berbanding ukuran yang selama ini dipercayai,” jelasnya.

Geoscience Australia yang membekalkan runding cara pakar kepada pasukan pencarian yang diketuai Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), baru-baru ini menerbitkan sebuah video yang bertajuk ‘Mapping The Deep Ocean: Geoscience Australia and The Search For MH370’ (Pemetaan Laut Dalam: Geoscience Australia dan Pencarian MH370).

Video berdurasi 5 minit dan 45 saat itu menerangkan secara terperinci mengenai proses pemetaan batimetrik dan sonar imbasan sisi untuk pengumpulan data.


NOTA: Saksikan temu bual penuh bersama Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya pada 8 Mac di saluran Astro AWANI (Saluran 501) mulai 7 pagi. Layari astroawani.com untuk laman tribut khas bagi memperingati setahun pesawat Malaysia Airlines MH370 mulai 12.01 pagi Ahad.