awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
PDRM umum pertukaran enam pegawai kanan
Gadis 19 tahun dakwa disamun, dipaksa lakukan seks luar tabii
Protes di AS berterusan susulan insiden tembakan di Minneapolis
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Pemilik bar ditahan susulan kebakaran maut malam Tahun Baharu di Switzerland

Astro Awani
Astro Awani
09/01/2026
23:20 MYT
Pemilik bar ditahan susulan kebakaran maut malam Tahun Baharu di Switzerland
Jacques dan Jessica Moretti ketika tiba untuk disoal siasat di Pejabat Pendakwa Raya Awam Kanton Valais di Sion, barat daya Switzerland. - Foto AP
CRANS-MONTANA: Salah seorang daripada dua pemilik bersama sebuah bar di Switzerland yang terlibat dalam kebakaran maut pada malam Tahun Baharu telah ditahan oleh pihak berkuasa, menurut pendakwa raya Switzerland.

Ringkasan AI
  • Pemilik bar di Switzerland yang terlibat dalam kebakaran maut malam Tahun Baharu, Jacques Moretti, ditahan kerana risiko melarikan diri.
  • Kebakaran di bar Le Constellation di Crans-Montana mengorbankan 40 nyawa dan cedera 116 orang, kebanyakannya remaja bawah 20 tahun.
  • Pihak berkuasa percaya kebakaran berpunca daripada bunga api terlalu dekat dengan siling, sementara bar berkenaan tidak menjalani pemeriksaan keselamatan selama lima tahun, mencetuskan kemarahan dalam kalangan keluarga mangsa.

Pendakwa berkata Jacques Moretti, seorang warganegara Perancis, ditahan kerana dianggap berisiko melarikan diri.
Dia dan isterinya, Jessica Moretti, juga warganegara Perancis, disyaki melakukan kesalahan menyebabkan kematian akibat kecuaian, menyebabkan kecederaan badan akibat kecuaian, serta pembakaran akibat kecuaian.
Kebakaran yang berlaku di bar Le Constellation di pusat peranginan ski Crans-Montana itu mengorbankan 40 nyawa dan mencederakan 116 orang.
Kebanyakan mangsa berusia bawah 20 tahun, termasuk lapan remaja berumur di bawah 16 tahun.
Pihak berkuasa percaya kebakaran berpunca daripada bunga api yang dipasang pada botol champagne dan diangkat terlalu dekat dengan siling semasa sambutan Tahun Baharu.
Api tersebut dipercayai telah menyambar bahan buih penebat bunyi di siling bar bawah tanah berkenaan.
Penahanan Jacques Moretti dibuat selepas dia dan isterinya disoal siasat oleh pendakwa raya di Sion, sebuah bandar di kanton Valais, pada Jumaat.
Mengikut undang-undang Switzerland, individu yang disiasat boleh ditahan sehingga keputusan mahkamah dibuat dalam tempoh 48 jam.
Pasangan itu sebelum ini telah diletakkan di bawah siasatan jenayah.
Dalam kenyataan kepada media pada hari Jumaat, Jessica berkata fikirannya sentiasa bersama para mangsa dan mereka yang masih berjuang untuk hidup.
“Ini satu tragedi yang tidak terbayangkan dan kami tidak pernah menyangka ia akan berlaku. Ia berlaku di bar kami dan saya ingin memohon maaf,” katanya ketika berjalan di sekitar bandar Sion diiringi polis.
Kedua-dua pemilik bar itu sebelum ini menyatakan mereka amat terkejut dan hancur dengan kejadian tersebut, serta berjanji akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan yang sedang dijalankan.
Sementara itu, pendedahan bahawa bar berkenaan tidak menjalani pemeriksaan keselamatan selama lima tahun telah mencetuskan kemarahan dan kejutan dalam kalangan keluarga mangsa.
Premis hiburan seperti Le Constellation sepatutnya menjalani pemeriksaan tahunan.
Peguam Romain Jordan, yang mewakili beberapa keluarga mangsa, berkata jumlah pelanggaran dan kelemahan dalam sistem pemeriksaan menimbulkan persoalan sama ada pihak perbandaran juga perlu disiasat dengan lebih mendalam.
Datuk Bandar Crans-Montana, Nicolas Feraud, berkata beliau tidak dapat menjelaskan mengapa pemeriksaan tidak dilakukan selama tempoh yang begitu lama.
“Kami amat kesal. Kami berhutang penjelasan kepada keluarga mangsa dan akan memikul tanggungjawab,” katanya, sambil menambah bahawa penggunaan bunga api akan diharamkan di semua premis tempatan.
Pada Jumaat, Switzerland mengadakan satu minit bertafakur sempena hari berkabung negara bagi memperingati mangsa tragedi tersebut.
Loceng gereja dibunyikan selama lima minit di seluruh negara, perkhidmatan kereta api dan trem dihentikan seketika, dan Lapangan Terbang Zurich menghentikan operasi buat sementara waktu.
Dalam satu majlis peringatan di Crans-Montana, para anggota bomba menerima tepukan gemuruh sebagai penghargaan atas usaha mereka.
Ramai mangsa yang cedera mengalami melecur teruk dan kini menerima rawatan di Switzerland serta beberapa negara Eropah lain.
Upacara pengebumian bagi sebahagian mangsa yang terkorban telah pun berlangsung.
Topic Berkaitan
#Jacques Moretti
#kebakaran
#bar
#tahun baharu
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan