[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
DUNIA

Pemilik kelab malam yang terbakar dan meragut 25 nyawa di Goa, India, ditahan

Bernama 17/12/2025 | 00:50 MYT
Kelab malam Birch by Romeo Lane di Goa, India, telah ditutup susulan kejadian kebakaran maut pada 7 Dis lalu. REUTERS
NEW DELHI: Pemilik utama sebuah kelab malam di negeri Goa, barat India, di mana kebakaran maut meragut nyawa 25 orang minggu lepas, dihantar pulang dari Thailand pada Selasa dan ditahan secara rasmi sebaik tiba di Lapangan Terbang New Delhi, menurut pegawai, lapor Xinhua.


Ringkasan AI
  • Pemilik utama kelab malam Goa yang terlibat dalam kebakaran maut 25 mangsa minggu lalu kembali dari Thailand dan ditahan di Lapangan Terbang New Delhi.
  • Pemilik kelab malam dijangka dihadapkan ke mahkamah Delhi dan dimohon tahanan reman transit sebelum dihantar ke Goa untuk proses undang-undang.
  • Kebakaran di kelab malam Birch by Romeo Lane disebabkan kemungkinan penggunaan bunga api elektronik semasa acara tarian, menyebabkan api merebak pantas akibat bahan binaan mudah terbakar.


Dua pemilik kelab malam itu "akan dibawa ke mahkamah di Delhi dan kami akan memohon tahanan reman transit untuk membawa mereka ke Goa bagi menghadapi proses undang-undang," kata seorang pegawai.

Pada 7 Disember, kebakaran merebak di sebuah kelab malam popular dikenali sebagai Birch by Romeo Lane di Baga, Desa Arpora, Daerah Goa Utara, kira-kira 16 kilometer barat laut Panaji, ibu negeri Goa.

Menurut pihak berkuasa Goa, adik-beradik pemilik, yang berdepan pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh, melarikan diri dari India beberapa jam selepas kejadian dengan menaiki penerbangan ke Phuket, Thailand.

Notis Sudut Biru Interpol dikeluarkan selepas mereka melarikan diri.

Pihak berkuasa di Goa menahan enam individu dan menggantung tugas tiga pegawai berkaitan kejadian itu.

Siasatan awal menumpukan kepada letupan silinder gas petroleum cecair (LPG) berhampiran kawasan dapur.

Namun kini dipercayai yang bunga api elektronik yang digunakan semasa acara tarian menyebabkan api menyambar bumbung.

Bahan binaan yang sangat mudah terbakar menyebabkan api merebak dengan pantas.

--BERNAMA-XINHUA









#kelab malam terbakar #kebakaran maut #Goa India #pemilik kelab malam ditahan