DUNIA
Pemimpin dunia, agensi PBB desak bantuan segera selepas kebuluran diisytihar di Gaza

Penduduk Palestin membawa periuk dan bekas makanan sambil menunggu untuk menerima makanan daripada dapur amal di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, pada Khamis lalu. - Gambar Reuters
BRUSSELS/BERLIN/LONDON/GENEVA: Kecaman keras dan gesaan segera disuarakan pemimpin dunia serta agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat selepas Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) yang disokong PBB mengesahkan berlakunya kebuluran di Wilayah Gaza, sambil memberi amaran ia akan merebak ke Deir al-Balah dan Khan Younis dalam beberapa minggu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pesuruhjaya Eropah bagi Kesamaan, Kesiapsiagaan dan Pengurusan Krisis, Hadja Lahbib berkata, kebuluran kini menjadi "realiti" di Gaza, dengan penduduk mati akibat kebuluran.
"Kebuluran adalah realiti di #Gaza, kini disahkan oleh laporan @theIPCinfo. Penduduk mati akibat kebuluran," katanya di X, menyifatkannya sebagai "berlumba dengan masa."
Beliau memetik analisis IPC yang mengunjurkan menjelang akhir September, hampir satu daripada tiga penduduk Gaza, iaitu kira-kira 641,000 orang berdepan kebuluran.Lahbib menggesa Israel membenarkan "akses kemanusiaan tanpa halangan dan berterusan kepada semua yang memerlukan."
IPC menyatakan, setakat 15 Ogos, kebuluran (IPC Fasa 5) dengan bukti munasabah disahkan di Wilayah Gaza, satu daripada lima kawasan di enklaf itu, di mana lebih 62,000 penduduk Palestin maut sejak Oktober 2023 akibat serangan Israel.
Di Berlin, jurucakap Kementerian Luar Jerman, Josef Hinterseher berkata, tiada keraguan lagi bahawa kebuluran wujud di Gaza.
Beliau menggesa Israel membenarkan bantuan mencukupi masuk ke enklaf itu, sambil mengingatkan bahawa Jerman telah berulang kali memberi amaran mengenai risiko berkenaan.
Menteri Pembangunan Jerman, Reem Alabali Radovan berkata, laporan IPC "jelas menunjukkan keadaan bencana di Gaza."
"Semakin ramai penduduk, khususnya kanak-kanak, mati kelaparan di depan mata kita. Keadaan ini tidak boleh berterusan. Kebuluran ini sepenuhnya berpunca daripada tindakan manusia," katanya.
Beliau menegaskan, akses kepada bekalan bantuan yang sedikit meningkat masih "jauh daripada mencukupi" dan menggesa gencatan senjata segera.
Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) turut menegaskan kebuluran yang "dicipta secara sengaja oleh Kerajaan Israel" kini telah disahkan, dengan kempen ketenteraan Israel memusnahkan Gaza dan mengorbankan lebih 62,100 penduduk Palestin sejak Oktober 2023.
Di London, Setiausaha Luar Britain, David Lammy menyifatkan kebuluran itu sebagai "amat mengerikan" dan "sebenarnya boleh dielakkan."
"Keengganan kerajaan Israel membenarkan bantuan mencukupi masuk ke Gaza telah menyebabkan malapetaka buatan manusia ini. Ini satu kejutan moral," katanya.
Lammy menggesa Israel membenarkan penghantaran makanan, bekalan perubatan, bahan api dan semua bentuk bantuan tanpa halangan.
Beliau turut mengulangi gesaan supaya gencatan senjata segera dilaksanakan, sambil memberi amaran operasi ketenteraan Israel di Bandaraya Gaza - pusat kebuluran - hanya akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan serta membahayakan nyawa tawanan yang ditahan Hamas.
"Britain sekali lagi mengecam tindakan ketenteraan ini," katanya, sambil mendesak Israel menghentikan rancangan menawan Bandaraya Gaza.
Sementara itu, agensi-agensi PBB memberi amaran kebuluran sudah pun meragut nyawa di Gaza dan menekankan kanak-kanak berada pada risiko kebuluran paling parah.
Kenyataan bersama Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Program Makanan Sedunia (WFP), Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata Gaza sudah kehabisan pilihan untuk terus bertahan.
Ketua Pengarah FAO, Qu Dongyu berkata, kelaparan dan kekurangan zat makanan kini meragut nyawa setiap hari, diburukkan lagi dengan kemusnahan tanah pertanian, ternakan dan perikanan.
"Keutamaan kita sekarang ialah akses selamat dan berterusan bagi penghantaran bantuan makanan berskala besar. Akses kepada makanan bukan keistimewaan ... ia hak asasi manusia," katanya.
Pengarah Eksekutif WFP, Cindy McCain berkata, amaran kebuluran telah jelas selama berbulan-bulan.
"Apa yang diperlukan sekarang ialah lonjakan bantuan, keadaan lebih selamat di lapangan, serta rangkaian pengedaran berkesan bagi mencapai semua yang memerlukan. Akses kemanusiaan penuh dan gencatan senjata sekarang amat penting untuk menyelamatkan nyawa," katanya.
Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell menggambarkan keadaan kanak-kanak "dengan tubuh kurus kering, terlalu lemah untuk menangis atau makan; bayi mati akibat kelaparan dan penyakit yang boleh dicegah; ibu bapa datang ke klinik tanpa apa-apa lagi untuk diberi makan kepada anak mereka."
"Tiada masa untuk dilengah-lengahkan," katanya, memberi amaran kebuluran akan merebak tanpa gencatan senjata segera serta akses kemanusiaan.
Beliau menegaskan, keperluan rawatan pemulihan pemakanan segera untuk kanak-kanak yang berada di ambang kebuluran.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami