DUNIA
Pemimpin Eropah beri tanda positif selepas perbualan dengan Trump menjelang sidang kemuncak bersama Putin

Canselor Jerman, Friedrich Merz (kanan) menerima kunjungan Presiden Volodymyr Zelenskyy di Munich, pada Rabu. - Gambar AP
BRUSSELS/WASHINGTON: Pemimpin-pemimpin Eropah kelihatan berhati-hati namun optimis selepas mengadakan mesyuarat secara maya bersama Donald Trump pada Rabu, dua hari sebelum Presiden Amerika Syarikat (AS) itu mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Alaska bagi membincangkan usaha menamatkan perang di Ukraine.
Menurut laporan, Trump memaklumkan kepada pemimpin Eropah bahawa matlamat sidang kemuncak antara beliau dan Putin adalah untuk mencapai gencatan senjata antara Moscow dan Kyiv.
Trump turut bersetuju bahawa sebarang isu wilayah perlu diputuskan dengan penglibatan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, selain menjadikan jaminan keselamatan sebagai sebahagian daripada perjanjian, kata Presiden Perancis, Emmanuel Macron.
Macron berkata, perbualan bersama Trump memberi peluang untuk “menjelaskan niat beliau” serta memberi ruang kepada Eropah untuk “menyatakan jangkaan kami.”Trump bersama Naib Presiden AS, JD Vance turut bercakap dengan pemimpin United Kingdom, Perancis, Jerman, Itali, Finland, Poland; Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen dan Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte.
Eropah sebelum ini diketepikan daripada sidang kemuncak tergesa-gesa yang dianjurkan di Alaska dan perbualan telefon kali ini menjadi usaha terakhir untuk memastikan kepentingan Ukraine dan keselamatan benua itu kekal dalam pertimbangan Trump.
Usaha itu dilihat membuahkan hasil apabila pada Rabu malam, Trump menilai pertemuan itu sebagai “sempurna” dan memberi amaran bahawa Rusia bakal berdepan “akibat yang sangat serius” sekiranya tidak menghentikan perang di Ukraine.
Trump juga berkata, sekiranya pertemuan Jumaat ini berjalan lancar, beliau akan berusaha menganjurkan satu lagi sidang kemuncak yang melibatkan Putin dan Zelenskyy.
Bagaimanapun, kenyataan pemimpin Eropah selepas pertemuan tersebut kembali menegaskan, Kyiv mesti terlibat dalam sebarang keputusan akhir – mencerminkan kebimbangan bahawa Putin mungkin mempengaruhi Trump untuk menyerahkan wilayah Ukraine sebagai pertukaran kepada gencatan senjata.
“Paling penting Eropah meyakinkan Donald Trump bahawa Rusia tidak boleh dipercayai,” kata Perdana
Menteri Poland, Donald Tusk, manakala Canselor Jerman, Friedrich Merz menegaskan mereka telah “memastikan Ukraine berada di meja rundingan sebaik sahaja mesyuarat susulan berlangsung.”
Merz berkata, jika pihak Rusia enggan membuat sebarang konsesi, “Amerika Syarikat dan kami di Eropah harus, dan mesti meningkatkan tekanan.”
Sejak sidang kemuncak AS-Rusia diumumkan minggu lalu, Trump beberapa kali menyebut idea “pertukaran wilayah” antara Kyiv dan Moscow – mencetuskan kebimbangan serius di Ukraine dan negara-negara lain bahawa beliau mungkin bersedia memenuhi tuntutan lama Putin untuk menguasai sebahagian besar wilayah Ukraine.
Jurucakap Kementerian Luar Rusia, Alexey Fadeev pada Rabu mengulangi pendirian Moscow yang tidak berubah sejak Putin menggariskannya pada Jun 2024.
Ketika itu, Putin berkata, gencatan senjata akan bermula sebaik sahaja kerajaan Ukraine menarik balik tenteranya dari empat wilayah yang sebahagiannya diduduki Rusia – Donetsk, Luhansk, Kherson dan Zaporizhzhia. Ukraine juga diminta menggugurkan hasrat untuk menyertai NATO.
Tuntutan itu dilihat tidak realistik oleh Kyiv dan sekutu Eropahnya.
Zelenskyy menegaskan, Rusia akan menggunakan wilayah yang dibenarkan kekal di bawah kawalannya sebagai batu loncatan untuk pencerobohan pada masa depan.
Bagi menangani ancaman itu, jaminan keselamatan dilihat sebagai komitmen jangka panjang untuk mempertahankan Ukraine.
Selepas panggilan telefon bersama Trump, beberapa pemimpin Eropah berkata perkara itu telah dibincangkan, manakala Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer menyifatkan ia sebagai “kemajuan sebenar.”
Starmer turut memuji usaha Trump untuk mencapai persetujuan, dengan berkata: “Selama lebih tiga tahun konflik ini berlangsung, kita tidak pernah hampir kepada penyelesaian yang wajar bagi membawa kepada gencatan senjata.
“Kini peluang itu ada, hasil usaha yang dilakukan Presiden (Trump).”
Sejak musim bunga, UK dan Perancis mengetuai inisiatif membentuk “Coalition of the Willing” – kumpulan negara yang berikrar menghalang Rusia daripada melakukan pencerobohan lanjut ke atas Ukraine.
Pada Rabu, kumpulan itu menyatakan kesediaan “memainkan peranan aktif” termasuk dengan menempatkan “pasukan jaminan” sebaik sahaja pertempuran dihentikan – walaupun bentuk, komposisi dan peranannya masih belum diputuskan.
Sementara itu di barisan hadapan, serangan musim panas Rusia terus bergerak maju.
Merujuk kepada kemaraan mengejut tentera Moscow berhampiran Dobropillya di wilayah Donetsk, Zelenskyy berkata, Putin berpura-pura sekatan ekonomi tidak memberi kesan kepada ekonomi Rusia.
“Saya memberitahu Trump dan sekutu Eropah bahawa Putin sedang menggertak,” kata Zelenskyy sambil menggesa mereka meningkatkan “tekanan” terhadap Rusia.
Trump pula mengakui, walaupun beliau bertemu Putin secara bersemuka, itu belum tentu dapat menghentikan serangan terhadap orang awam di Ukraine.
“Saya sudah berbicara dengannya… tapi kemudian saya pulang dan melihat roket menghentam rumah jagaan warga emas atau bangunan apartmen dan orang ramai terbaring mati di jalanan.
“Jadi saya rasa jawapannya, kemungkinan besar, tidak.” - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami