DUNIA
Pemimpin luar negara berduka atas nahas jet tentera Bangladesh yang ragut lebih 20 nyawa

Pemimpin luar negara pada Isnin meluahkan rasa terkejut dan dukacita susulan nahas jet tentera Bangladesh yang mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang, termasuk pelajar sekolah, serta mencederakan lebih 170 lagi. - Gambar Reuters
NEW DELHI: Pemimpin luar negara pada Isnin meluahkan rasa terkejut dan dukacita susulan nahas jet tentera Bangladesh yang mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang, termasuk pelajar sekolah, serta mencederakan lebih 170 lagi.
India, Pakistan dan Maldives antara negara yang mengutuskan ucapan takziah kepada Bangladesh berikutan tragedi itu.
Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) turut meratapi kehilangan nyawa dan menyatakan solidariti bersama Bangladesh.
"Kami bersolidariti bersama kerajaan dan rakyat Bangladesh dalam saat sukar ini dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan semua yang terjejas akibat insiden yang menyayat hati ini. Kami juga mendoakan agar mereka yang cedera segera sembuh sepenuhnya," menurut kenyataan pertubuhan yang beribu pejabat di Istanbul itu, yang turut dianggotai Bangladesh.Pesawat pejuang F-7 BGI buatan China milik Tentera Udara Bangladesh itu terhempas ke bangunan Milestone School and College di kawasan Uttara, Dhaka.
Antara yang terkorban ialah juruterbang pesawat berkenaan, Leftenan Penerbangan Toukir Islam.
Menurut kenyataan tentera, pesawat itu terhempas akibat kerosakan mekanikal beberapa minit selepas berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Bangladesh AK Khandaker di Kurmitola pada pukul 1.06 tengah hari waktu tempatan bagi latihan rutin.
"Hati kami bersama keluarga mangsa. Kami mendoakan agar semua yang cedera segera sembuh. India bersolidariti bersama Bangladesh dan bersedia menawarkan segala bentuk bantuan dan sokongan," kata Perdana Menteri India, Narendra Modi menerusi satu hantaran di X.
Sementara itu, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif turut meluahkan rasa dukacita atas tragedi itu dan berkata beliau "sangat sedih atas kehilangan nyawa akibat nahas pesawat di Milestone School di Dhaka."
"Ucapan takziah ikhlas saya kepada rakyat Bangladesh, terutamanya keluarga mangsa, termasuk ramai kanak-kanak. Pakistan bersama kerajaan dan rakyat Bangladesh dalam detik sukar ini," katanya.
Presiden Maldives, Mohamed Muizzu pula berkata, "doa dan ingatan saya bersama mangsa, keluarga mereka dan semua yang terkesan akibat insiden yang memilukan ini."
Bangladesh telah mengisytiharkan hari berkabung negara pada Selasa.
Sebuah pasukan penyiasat peringkat tinggi telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca nahas.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami