Pemimpin utama kumpulan pembangkang Syria, Moaz Alkhatib meletak jawatan pada Ahad.

Peletakan jawatan Moaz itu bukan sahaja melemahkan usaha kumpulan berfahaman sederhana untuk menjatuhkan rejim Presiden Bashar Assad, bahkan juga menyukarkan usaha Barat untuk menyokong kumpulan anti kerajaan.

Moaz meletak jawatan selepas pakatan kebangsaan untuk revolusi Syria mengkritik beliau kerana menawarkan jalan keluar untuk Bashar.

Tindakan pakatan berkenaan minggu lalu untuk melantik seorang teknokrat, Ghassan Hitto sebagai perdana menteri sementara Syria turut mengurangkan kekuasaan dan pengaruhnya.

Moaz dilihat sebagai seorang pemimpin sederhana yang menentang kebangkitan pengaruh kumpulan Jihad yang mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda.

Beliau dipilih untuk meneraju pakatan kebangsaan untuk revolusi Syria dan pasukan pembangkang yang ditubuhkan di Qatar November tahun lalu.

Dalam reaksi balasnya, Menteri Luar Qatar Sheikh Hamad Jassim Al-Thani melahirkan harapan agar Moaz akan menimbangkan semula keputusan untuk meletak jawatan.

Pemimpin-pemimpin pembangkang Syria dijangka menghadiri Sidang Kemuncak Liga Arab minggu ini dengan harapan untuk meraih sokongan terhadap usaha mereka menggulingkan Bashar.

Bagaimanapun menurut penganalisis di Doha, Michael Stephens peletakan jawatan Moaz menjejaskan niat mereka itu.