DUNIA
Putera William dedah sisi peribadi – keluarga, kesedihan dan perubahan

Putera William (kanan) diwawancara secara santai oleh Eugene Levy. pelakon kegemarannya sejak remaja di Istana Windsor.
LONDON: Di sebalik kemegahan Istana Windsor, pewaris takhta Britain, Putera William, tampil lebih terbuka apabila berkongsi kisah peribadi dalam satu pertemuan santai bersama pelakon Kanada, Eugene Levy.
Dalam perbualan yang dirakam untuk rancangan kembara Apple TV+, The Reluctant Traveler, William mengakui tahun 2024 adalah tempoh paling mencabar buat dirinya selepas isterinya, Catherine Middleton dan ayahandanya, Raja Charles III, disahkan menghidap kanser.
“Itu adalah tahun paling sukar pernah saya lalui. Tetapi saya bangga dengan cara isteri dan ayah saya menghadapinya. Anak-anak juga menunjukkan kekuatan luar biasa,” katanya dalam wawancara itu.
Mengulas lanjut, William menegaskan, tekanan terbesar dalam hidupnya bukan datang daripada tanggungjawab rasmi, sebaliknya daripada hal-hal keluarga.“Kalau kita terlalu melekat dengan masa lalu, kita hilang ruang untuk berubah,” ujarnya.
Kenangan terhadap kedua nendanya, Ratu Elizabeth II dan Putera Philip, turut menyentuh perasaan apabila beliau mengakui amat merindui mereka.
“Windsor amat sinonim dengan baginda (Ratu Elizabeth),” katanya lagi.

Putera William menunggang skuter - sisi lain putera raja yang tidak pernah dilihat oleh rakyat jelata.
Selain bicara serius, William juga mendedahkan sisi peribadi yang jarang diketahui umum – daripada menunggang skuter elektrik di sekitar istana, gemar minum segelas besar sweet cider sehinggalah sikapnya yang sering lewat menghadiri urusan.
Dalam soal keibubapaan, beliau dan Catherine bertegas anak-anak mereka belum dibenarkan memiliki telefon bimbit.
Putera George dikatakan lebih arif tentang sejarah berbanding dirinya, manakala Puteri Charlotte dan Putera Louis gemar melompat di atas trampolin sehingga sering bergaduh sesama sendiri.
Levy yang ditemu bual CNN menyifatkan pertemuan itu jauh lebih mendalam daripada jangkaannya.
“Beliau (Putera William) membuat saya selesa, sangat bersahaja, malah penuh humor,” katanya.
Lazimnya, pendedahan tentang keluarga diraja dilakukan dalam suasana rasmi, namun kali ini ia hadir dari lokasi yang cukup luar biasa – seorang putera berterus terang kepada pelakon kegemarannya sejak remaja.
Apa yang terserlah adalah bagaimana pewaris takhta Britain ini cuba menyeimbangkan tekanan keluarga sambil memikirkan masa depannya.
Seorang sumber istana merumuskan: “Selama ini, kita melihat keluarga diraja sebagai insan yang sempurna. Tetapi kali ini, kita melihat William sebagai seorang manusia biasa. Inilah saat paling terbuka pernah kita saksikan daripadanya.”
Dan keterbukaan itu menjadikan William lebih dekat dengan rakyat. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami