Penahanan Maduro oleh tentera AS timbulkan persoalan besar bidang kuasa, kata pakar

Barton berkata, waran tangkap terhadap ketua negara yang masih memegang jawatan lazimnya dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan dilaksanakan melalui kerjasama antara negara anggota. - Gambar nottingham.edu
KUALA LUMPUR: Penangkapan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro oleh tentera Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu lalu disifatkan sebagai penyimpangan "luar biasa" daripada norma antarabangsa sedia ada, kata seorang ahli akademik.
Ringkasan AI
- Penangkapan Presiden Venezuela Nicolas Maduro oleh tentera Amerika Syarikat (AS) disifatkan sebagai penyimpangan daripada norma antarabangsa, kata ahli akademik.
- Tindakan itu dipersoalkan kerana bercanggah dengan mekanisme perundangan lazim dan menimbulkan isu bidang kuasa.
- Meskipun AS mengaku campur tangan itu untuk kebaikan rakyat Venezuela, tindakan itu boleh mencetuskan penentangan tempatan terhadap penglibatan asing.
"Ia agak luar biasa. Ia bukan sesuatu yang sering berlaku. Apa yang kita lihat sejak dua hingga tiga dekad lalu ialah pengeluaran waran tangkap oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan kebiasaannya ia adalah kejadian yang jarang berlaku," katanya dalam program Bernama World pada Isnin.
Beliau memberi amaran bahawa tindakan menyifatkan penangkapan itu sebagai tindakan keselamatan domestik dan bukannya sebagai perbuatan perang, menimbulkan persoalan besar mengenai bidang kuasa.
"Jika justifikasi yang diberikan ialah ia merupakan isu keselamatan domestik, adakah ini bermakna bidang kuasa Amerika Syarikat boleh mengatasi bidang kuasa negara berdaulat lain. Itu satu persoalan besar," katanya.
Barton, yang juga ketua Pusat Pengajian Politik universiti itu berkata, penahanan secara langsung terhadap seorang Presiden yang masih memegang jawatan jarang berlaku dan ia mencerminkan corak sejarah lebih luas penglibatan aktif AS dalam politik domestik negara jiran.
Walaupun AS menggambarkan campur tangan itu sebagai usaha membanteras penyeludupan dadah dan pemerdagangan manusia demi kebaikan rakyat Venezuela, beliau memberi amaran tindakan tersebut boleh membawa kesan sebaliknya dengan mencetuskan penentangan tempatan.
"Apa yang kita akan lihat ialah kelompok-kelompok penentangan yang sudah mula terbentuk dan menolak usaha AS untuk menguasai keadaan di Venezuela," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


