Skip to main content

Malaysia

Jurang pertumbuhan produktiviti, gaji perlu dirapatkan melalui peningkatan kecekapan - MPC

KUALA LUMPUR, 31 Julai -- Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Dr Mohamad Norjayadi Tamam ketika ditemu bual BERNAMA di Menara MATRADE baru-baru ini._BERNAMA
Mohamad Norjayadi berkata peningkatan kecekapan di peringkat individu yang menyumbang kepada produktiviti akan meningkatkan prestasi dan keuntungan syarikat, sebelum manfaatnya diterjemahkan semula kepada pekerja dalam bentuk insentif. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

BANGI: Jurang antara pertumbuhan produktiviti dan kenaikan gaji perlu dirapatkan dengan memastikan kenaikan gaji pekerja seiring dengan peningkatan kecekapan serta produktiviti syarikat, kata Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Dr Mohamad Norjayadi Tamam.

Beliau berkata peningkatan produktiviti membolehkan syarikat mengurangkan kos operasi serta meningkatkan keuntungan, sekali gus mewujudkan ruang untuk manfaat tersebut dikongsi dengan pekerja menerusi peningkatan gaji dan insentif.

“Isu kita ialah kadar pertumbuhan produktiviti perlahan dan begitu juga dengan kadar pertumbuhan gaji benar ataupun real wages kita.

“Jurang antara kadar pertumbuhan gaji benar kita meningkat disebabkan kebanyakan langkah untuk meningkatkan kadar gaji ini tidak dipacu oleh produktiviti,” katanya kepada Bernama selepas majlis penyampaian sijil pengiktirafan pendidikan bukan formal kepada 24 petugas FGV Palm Industries Sdn Bhd di sini semalam.

Mohamad Norjayadi berkata antara faktor dikenal pasti menyumbang kepada pertumbuhan produktiviti perlahan ialah isu tenaga kerja, penerimagunaan teknologi yang masih rendah serta persekitaran perniagaan tidak kondusif, termasuk birokrasi.

Beliau berkata faktor berkenaan perlu ditangani bagi memastikan pertumbuhan produktiviti negara dapat dipertingkatkan dan seterusnya mewujudkan ruang kepada pekerja menikmati peningkatan gaji.

Katanya antara pendekatan bagi menangani cabaran itu ialah pelaksanaan program pendidikan bukan formal yang menghubungkan peningkatan kemahiran pekerja dengan peningkatan produktiviti di peringkat syarikat.

Mohamad Norjayadi berkata peningkatan kecekapan di peringkat individu yang menyumbang kepada produktiviti akan meningkatkan prestasi dan keuntungan syarikat, sebelum manfaatnya diterjemahkan semula kepada pekerja dalam bentuk insentif.

“Program ini sebenarnya kita cuba nak melihat bagaimana peningkatan kecekapan di peringkat individu menyumbang kepada peningkatan produktiviti, seterusnya meningkatkan keuntungan dan prestasi syarikat sebelum diterjemahkan semula kepada insentif untuk pekerja itu sendiri,” katanya.

Mohamad Norjayadi berkata MPC kini berusaha memperluas pelaksanaan program itu kepada lebih banyak syarikat dengan keberkesanannya dipantau secara berterusan berdasarkan peningkatan produktiviti tenaga kerja yang menyertainya.

“Ini penting, apabila kita dapat melaksanakan program ini secara berstruktur yang dibangunkan bersama dengan kemahiran dan keperluan syarikat itu sendiri, kita dapat membantu mengurangkan isu-isu berkaitan ketidakpadanan pekerjaan,” katanya.

Dalam pada itu, Norjayadi berkata peningkatan produktiviti juga penting dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing sebanyak 10 peratus menjelang 2030 seperti disasarkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement