DUNIA
Penahanan pertama migran seberangi Selat Inggeris di bawah perjanjian UK-Perancis

Menurut Pejabat Dalam Negeri UK, mereka yang tiba pada petang Rabu telah ditahan dan akan ditempatkan di pusat tahanan imigresen sebelum dihantar pulang ke Perancis. - AP
LONDON: Beberapa migran yang tiba di United Kingdom (UK) selepas menyeberangi Selat Inggeris telah ditahan di bawah pelaksanaan awal perjanjian baharu "satu masuk, satu keluar", lapor PA Media/dpa.
Penahanan pertama itu berlaku pada Rabu, hari pertama pelaksanaan skim perintis itu, apabila sekumpulan migran tiba di Dover.
Menurut Pejabat Dalam Negeri UK, mereka yang tiba pada petang Rabu telah ditahan dan akan ditempatkan di pusat tahanan imigresen sebelum dihantar pulang ke Perancis.
Setiausaha Dalam Negeri Yvette Cooper berkata: "Pada Rabu, berdasarkan perjanjian bersejarah ini, kumpulan pertama yang menyeberangi Selat telah ditahan sebaik tiba di Western Jet Foil dan kini akan ditahan sehingga mereka dapat dihantar pulang ke Perancis."Ini menghantar mesej kepada setiap migran yang sedang mempertimbangkan untuk membayar sindiket jenayah terancang ke UK bahawa mereka mempertaruhkan nyawa dan membazirkan wang jika menaiki bot kecil."
Pegawai UK menyasarkan untuk membuat rujukan pemulangan ke Perancis dalam tempoh tiga hari selepas migran tiba menaiki bot kecil, manakala pihak berkuasa Perancis akan memberi maklum balas dalam tempoh 14 hari.
Sebagai balasan, seorang pemohon suaka yang diluluskan di Perancis akan dibawa ke UK melalui laluan yang selamat.
Proses ini kini telah dimulakan, dengan individu dewasa dan keluarga di Perancis boleh menyatakan minat untuk datang ke UK melalui platform dalam talian yang disediakan Pejabat Dalam Negeri.
Mereka perlu memenuhi kriteria kelayakan, melalui proses permohonan visa dan tapisan keselamatan seperti biasa.
Jika diterima, mereka akan diberi tempoh tiga bulan di UK untuk memohon suaka atau visa, dan tertakluk kepada peraturan sama seperti pemohon suaka lain - termasuk tidak dibenarkan bekerja, belajar atau menerima bantuan kebajikan.
Pejabat Dalam Negeri dijangka melancarkan kempen dalam beberapa hari akan datang bagi memaklumkan para migran di utara Perancis dan kawasan lain mengenai perjanjian baharu itu.
Cooper berkata: "Sindiket jenayah telah meluangkan masa selama tujuh tahun di sepanjang sempadan kita dan usaha membanterasnya akan mengambil masa, tetapi penahanan ini merupakan langkah penting untuk menjejaskan model perniagaan mereka dan menepis janji palsu yang mereka tawarkan."
Sebelum ini, beliau menegaskan bahawa perjanjian ini bukanlah "penyelesaian mutlak" untuk menghentikan pelayaran bot kecil, namun merupakan perubahan ketara memandangkan migran kini dihantar pulang menyeberangi Selat buat pertama kali.
Menteri turut menolak kritikan bahawa perjanjian pemulangan ini membuka ruang eksploitasi undang-undang hak asasi manusia bagi mengelakkan pengusiran.
Usaha untuk membanteras bekerja secara haram dan mengusir migran tanpa hak tinggal di UK masih diteruskan dalam usaha kerajaan mengawal penyeberangan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami