TEHRAN (Iran): Seorang pegawai kanan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) terbunuh dalam serangan Israel di pinggir bandar ibu negara Syria, Damsyik, menurut media Iran pada Isnin lapor Agensi Anadolu (AA).

Menurut laporan media, Sayyed Razi yang berkhidmat sebagai penasihat kanan tentera untuk IRGC di Syria, maut dalam serangan udara di kawasan Sayyeda Zeinab di Damsyik.

Dalam satu kenyataan, jabatan perhubungan awam IRGC menyifatkan Razi sebagai "penasihat tentera berpengalaman dan rakan baik kepada komander tentera yang terbunuh Jeneral Qassem Soleimani.

Pembunuhan Razi berlaku di tengah-tengah siri serangan ke atas pangkalan tentera AS dan kepentingan Israel di Iraq dan Syria dalam beberapa minggu kebelakangan ini yang dikaitkan dengan kumpulan yang disokong oleh Iran di Iraq.

Iran mengekalkan kehadiran tentera yang ketara di Syria dan kerap mencetuskan ketegangan antara Tehran dan Washington memandangkan tentera Amerika juga ditempatkan di negara itu.

Peningkatan ketegangan itu berlaku ketika konflik Israel-Hamas di Semenanjung Gaza masih berterusan, meragut hampir 20,700 nyawa rakyat Palestin. - BERNAMA