PENASIHAT Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa China mengeluarkan semua maklumat berkaitan asal usul pandemik COVID-19.

Ini selepas penemuan baharu dikongsi secara ringkas pada pangkalan data antarabangsa yang digunakan untuk mengesan patogen.

Urutan baharu SARS-CoV-2 serta data genom tambahan berdasarkan sampel yang diambil dari pasar haiwan hidup di Wuhan, China pada 2020 telah dimuat naik secara ringkas ke pangkalan data GISAID dan diberi akses terbuka oleh saintis China awal tahun ini.

Menurut kenyataan kumpulan penasihat saintifik WHO untuk asal usul patogen novel (SAGO), urutan itu mencadangkan bahawa anjing rakun terdapat di pasar itu dan mungkin juga telah dijangkiti oleh koronavirus.

Ini sekaligus memberikan petunjuk baharu dalam rantaian penularan yang akhirnya sampai kepada manusia.

Kata SAGO lagi, akses kepada maklumat itu kemudiannya dihadkan dan hanya memaparkan kemaskini data selanjutnya oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) China.

Pegawai WHO membincangkan perkara itu dengan rakan sekerja China yang menjelaskan bahawa data baharu itu bertujuan untuk digunakan untuk mengemas kini kajian pracetak mulai 2022.

CDC China merancang untuk menyerahkan semula kertas itu kepada jurnal Scientific Nature untuk diterbitkan.

Pegawai WHO berkata maklumat sedemikian, walaupun tidak konklusif, mewakili petunjuk baharu dalam penyiasatan tentang asal usul COVID-19 dan sepatutnya dikongsi serta-merta.

SAGO telah ditugaskan oleh WHO untuk terus menyiasat asal usul wabak yang telah membunuh hampir 7 juta orang di seluruh dunia.