JAKARTA:Pihak penyiasat Indonesia optimis dapat menemui ‘kotak hitam’ kedua pesawat Sriwijaya Air SJ182 yang terhempas di Kepulauan Seribu.

Usaha pencarian ‘kotak hitam’ atau perakam suara kokpit (CVR) itu diteruskan bagi menjawab pelbagai persoalan terutamanya bagaimana pesawat yang membawa 62 penumpang itu terhempas pada Sabtu lalu.

Kotak hitam pertama pesawat berkenaan ditemui pasukan penyelamat di sekitar Pulau Laki dan Pulau Lancang pada Selasa.

Kotak hitam itu kemudian diserahkan kepada Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (KNKT) bagi tujuan siasatan.

“Pencarian diteruskan hari ini dan kami berharap dapat menemui hasil yang baik,” kata ketua pasukan mencari dan menyelamat, Rasman MS.

Data yang terkandung dalam kotak hitam itu termasuk kelajuan, ketinggian dan arah tuju pesawat itu serta perbualan krew penerbangan.

Menurut pakar-pakar penerbangan, kesemua data itu bantu menjelaskan punca nahas bagi hampir 90 peratus kes pesawat terhempas.

Sehingga kini, pihak berkuasa masih tidak dapat menjelaskan bagaimana pesawat berusia 26 tahun itu terhempas hanya empat minit selepas berlepas.

Pesawat Boeing 737 yang membawa seramai 62 penumpang dan kru itu dilaporkan terputus hubungan pada Sabtu lalu ketika melintas ruang udara di Daerah Kepulauan Seribu.

Sebelum ini, Ketua Komite Nasional Keselamatan Transportasi Indonesia, Soerjanto Tjahjono dalam satu kenyataan berkata, pesawat Sriwijaya Air yang terhempas dipercayai tidak meletup, sebelum terjunam ke dasar laut.

Ia berdasarkan terdapat serpihan-serpihan pesawat yang ditemui setakat ini itu berukuran melebihi 23 meter.

Ikuti laporan perkembangan nahas pesawat Sriwijaya di sini