NEW DELHI: Berlaku kekecohan di Parlimen India apabila dua lelaki tidak dikenali bertindak menceroboh kawasan tempat duduk Ahli Parlimen ketika Dewan Rakyat sedang bersidang.

Ahli Parlimen Rajendra Agarwal berkata kejadian itu berlaku selepas dua lelaki itu yang ketika itu berada di tempat duduk awam cuba menceroboh untuk masuk ke kawasan tempat duduk Ahli Parlimen.

Beberapa Ahli Parlimen berjaya menahan seorang daripada penceroboh itu.

Kedua-duanya membawa tong gas sambil melaungkan slogan "tanashahi nahi chalegi" (kezaliman tidak akan diterima).

Menurut Ahli Parlimen Karti Chidambaram, gas itu mengeluarkan asap kuning dan seorang daripadanya cuba berlari ke arah kerusi Speaker.

"Ini merupakan isu keselamatan yang serius, terutama pada 13 Disember, tarikh sama Parlimen India diserang pada 2001," katanya sambil menambah terdapat kira-kira 100 Ahli Parlimen ketika itu.

Sementara itu, di luar kompleks Parlimen, polis menahan dua penunjuk perasaan - seorang lelaki dan seorang wanita - yang memegang tabung yang mengeluarkan asap kuning dan merah.

Ketika ditahan, wanita itu sempat melaungkan slogan "Bharat Mata Ki Jai" (salam ibu India), "tanashahi band karo" (hentikan kezaliman), "mahilaon pe atyachar band karo" (hentikan kekejaman terhadap wanita), "Samvidhan bachao " (selamatkan perlembagaan), dan "Jai Bhim" (bermaksud kemenangan kepada Bhim, merujuk kepada pengubal perlembagaan India Bhimrao Ramji Ambedkar).

Sekurang-kurangnya empat individu kini ditahan polis berhubung kejadian itu, lapor media tempatan.

-- BERNAMA