UKRAINE menjangkakan peperangan dan pencerobohan ke atas negara itu oleh Rusia mungkin berakhir Mei ini.

Oleksiy Arestovich, Penasihat Ketua Kakitangan Presiden Ukraine berkata, ramalan itu dibuat berdasarkan jangkaan bahawa pada Mei, Rusia akan mula kehabisan sumber untuk menyerang negara jirannya itu.

Menurut beliau, siri rundingan dan perbincangan antara Kiev dan Moscow setakat ini tidak membuahkan hasil yang banyak kecuali sekadar mewujudkan koridor kemanusiaan di bandar Ukraine yang dikepung.

Bagaimanapun, Arestovich tidak terbabit secara peribadi dalam rundingan berkenaan.

Arestovich berkata, masa yang tepat untuk perang berakhir bergantung kepada berapa banyak sumber Kremlin sanggup korbankan.

Menurutnya, Rusia dan Ukraine sepatutnya memeterai perjanjian damai dan jika itu berlaku, perang akan tamat lebih awal.

Beliau turut mendakwa bahawa Rusia bertindak 'gila' apabila menghantar tentera terbaharu ke Ukraine hanya selepas sebulan menjalani latihan.

Arestovich mengakui, meskipun selepas keamanan dipersetujui, pertempuran taktikal kecil boleh berlaku selama setahun walaupun Ukraine kini menegaskan akan melaksanakan penyingkiran sepenuhnya tentera Rusia dari wilayahnya.

Perang di Ukraine bermula 24 Feb lalu apabila Presiden Rusia Vladimir Putin melancarkan apa dipanggilnya sebagai 'operasi ketenteraan khas' yang menyaksikan serangan terbesar ke atas negara Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Kini, perang tersebut bukan sahaja mengorbankan banyak nyawa tetapi juga mengundang masalah pelarian terbesar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan ia menjerumuskan Eropah ke kancah krisis kemanusiaan terburuk sejak Perang Dunia Kedua.