Pihak berkuasa Hong Kong memaklumkan seorang pendaki yang mati selepas terjatuh di Table Mountain Afrika Selatan, adalah warga negara itu dan berasal dari bandar di selatan China.

Kenyataan oleh Jabatan Imigresen Hong Kong sekali gus bercanggah dengan satu lagi kenyataan awal oleh Perkhidmatan Taman Negara Afrika Selatan yang menyatakan bahawa lelaki tersebut adalah seorang warga negara Jepun.

Namun tiada sebarang penjelasan mengapa berlakunya percanggahan itu.

Hong Kong mengatakan ia telah "mengambil inisiatif" untuk menghubungi keluarga mangsa untuk memberi nasihat dan bantuan lain.

Sementara itu, pendaki lain dan teman wanita pendaki malang terbabit dilaporkan terselamat, namun seorang pemandu pelancong warga tempatan meninggal dunia dalam kemalangan yang berlaku lewat hari Isnin.

Mereka yang terselamat dan yang cedera dibawa ke hospital selepas operasi menyelamat yang sukar di mana pasukan penyelamat terpaksa turun menggunakan tali dari sebuah kereta kabel di atas gunung yang menjadi destinasi pelancongan utama dan menghadap Cape Town.

Akibat daripada insiden itu ratusan pelancong terkandas selama berjam-jam di atas gunung tersebut.