KUALA LUMPUR:Pendakwaan kali kedua terhadap Presiden Donald Trump merupakan satu langkah bersejarah buat Amerika Syarikat (AS), serta menjadi satu pengajaran kepada masyarakat global.

Pengundian Kongres itu memberi peringatan kepada seluruh dunia bahawa tiada siapa yang kebal daripada undang-undang, jelas Thomas Daniel, Felo di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS).

Kongres Amerika Syarikat pada Rabu mengundi untuk mendakwa Presiden Donald Trump kerana menghasut untuk mencetuskan rusuhan di bangunan Capitol pada 6 Januari lalu.

Jelas Thomas, pengundian itu yang mendapat sokongan daripada 10 ahli Republikan juga menjadi pendakwaan Presiden yang paling bipartisan dalam sejarah Amerika.

“Terdapat dua faktor di sebalik langkah untuk mendakwa Presiden Trump. Pertama, ia bagi menghantar mesej kepada seluruh negara dan dunia bahawa tiada siapa yang kebal daripada undang-undang.

“Kedua, ia bagi menghalang Trump daripada memenangi pilihan raya buat penggal kedua sekiranya dia berhasrat untuk bertanding lagi,” katanya.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Trump didakwa kali kedua, pertama dalam sejarah Presiden AS

Namun, beliau turut berpendapat bahawa imej negara Uncle Sam itu sudah tercalar dalam komuniti global susulan serangan di Capitol yang mengorbankan lima nyawa, termasuk seorang anggota polis.

Trump dituduh menggalakkan penyokong merusuh di bangunan Capitol menerusi beberapa ciapan di Twitter kerana enggan menerima keputusan pilihan raya yang memihak kepada bakal Presiden Joe Biden.

Usaha Kongres dan Dewan Perwakilan untuk menyingkirkan Trump bagaimanapun dijangka tidak mampu menghapuskan retorik ‘Trumpisme’ dalam kalangan penyokongnya.

“Kita perlu ingat bahawa ‘Trumpisme’ atau sejenis populisme yang hampir sama masih lagi wujud dalam Parti Republikan yang akan menyebabkan kesan jangka masa panjang kepada politik dan keupayaan parti itu ketika bertanding,” jelas Thomas.

Berbaki hanya lapan hari sebelum Biden dinamakan sebagai Presiden ke-46, upacara mengangkat sumpah dijangka berbeza kali ini.

“Kita akan menyaksikan upacara ini dikawal ketat oleh pihak keselamatan, bukan sahaja akibat insiden sebelum ini, tetapi kerana pihak keselamatan percaya bahawa terdapat ancaman untuk mengganggu upacara tersebut,” katanya lagi.

Kini, Trump berdepan perbicaraan di hadapan Senat untuk prosiding yang akan berlangsung selepas beliau tidak lagi berada di White House bermula 20 Januari depan.

Politik AS | Trump jangka rusuhan susulan, gesa rakyat bersatu