ISTANBUL: Pengasas Thodex, platform tukaran mata wang kripto Turki yang melarikan diri ke Albania serta dua lagi adik-beradiknya, masing-masing dihukum penjara selama 11,196 tahun.

Agensi berita Anadolu melaporkan, pendakwa raya pada awalnya meminta mahkamah menjatuhi hukuman penjara sehingga 40,562 tahun kepada pengasas Thodex, Faruk Fatih Ozer, atas kesalahan pengubahan wang haram, penipuan dan menubuhkan organisasi jenayah.

Dua lagi adik-beradiknya, Serap dan Guven, dijatuhi hukuman sama pada prosiding Khamis lalu.

Ozer dilaporkan melarikan diri pada April 2021 bersama aset pelabur bernilai AS$2 bilion.

Pendakwa raya memaklumkan, Ozer memindahkan 250 juta lira atau RM43.5 juta dalam aset pengguna ke tiga akaun rahsia ketika melarikan diri.

Sebahagian besar wang itu berada di Bank Malta.

Tiga beradik itu didakwa secara keseluruhannya menyebabkan pelanggan kerugian 356 juta lira atau RM62 juta.

Kes itu menjadi tajuk utama berita tempatan susulan ledakan mata wang kripto di Turki.

Warga Turki dilihat mula beralih kepada mata wang kripto ekoran kejatuhan nilai lira.

Ozer ditahan di Albania tahun lalu melalui waran tangkap polis antarabangsa (Interpol).