Pengeluar vaksin Jerman, Curevac menyaman pesaingnya, Biontech untuk mendapatkan ganti rugi, dengan menuduh pengeluar utama vaksin Covid-19 itu melakukan pelanggaran paten, lapor Agensi Berita Jerman dpa.

Prosiding bermula pada Selasa di hadapan mahkamah wilayah di bandar Dusseldorf, barat Jerman.

Biontech telah menjana berbilion jualan dengan vaksin Covid-19nya semasa pandemik, manakala Curevac, selepas permulaan yang penuh harapan, gagal menghasilkan vaksin pada masa yang tepat.

Namun, Curevac mendakwa mereka telah membangunkan teknologi bagi pembangunan vaksin Covid-19 yang selamat dan berkesan.

Pada Julai tahun lepas, Curevac telah memfailkan tuntutan mahkamah terhadap Biontech, menuntut "pampasan yang adil" bagi pelanggaran sejumlah hak milik intelektualnya yang dikatakan telah digunakan oleh Biontech dan Pfizer dalam pengeluaran vaksin.

Syarikat itu tidak menyebutkan jumlah tertentu pada mulanya.

Biontech menolak tuduhan berkenaan.

Penghasilannya adalah "asli," menurut Biontech sambil menekankan bahawa pihaknya akan "bersungguh-sungguh mempertahankan diri daripada semua tuduhan pelanggaran paten" sejurus selepas tumtutan mahkamah itu diketahui umum.

Perbicaraan pada hari Selasa membincangkan dua paten dan tiga model utiliti Curevac yang lindungi. Dalam empat kes, Mahkamah Serantau Dusseldorf akan mengumumkan keputusan pada 28 September.

Dalam kes kelima - pertikaian paten - mahkamah Dusseldorf menunggu keputusan mahkamah paten Jerman, yang dijangka dibuat pada pertengahan Disember.

Biontech telah memohon agar paten Curevac yang kontroversial diisytiharkan tidak sah.

- BERNAMA-dpa