JAKARTA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan Malaysia akan memberikan sokongan penuh kepada Indonesia dalam mempengerusikan Asean tahun ini.

Katanya sokongan dan dukungan penuh itu diberikan agar kepimpinan Indonesia lebih berkesan ketika mempengerusikan Asean.

"Asean sekarang ini agak sedikit muram tetapi kali ini giliran Indonesia untuk mempengerusikan Asean untuk satu tempoh.

"Jadi saya berikan jaminan untuk Malaysia memberikan sepenuh dukungan supaya kepimpinan Indonesia lebih berkesan dan apa yang perlu kita lakukan, kita lakukan bersama," katanya dalam sesi soal jawab selepas Forum Kepimpinan CTCORP.

Anwar yang ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, melakukan Lawatan Negara ke Indonesia selama dua hari bermula Ahad dan ia merupakan lawatan sulung beliau ke luar negara sejak dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lepas.

Perdana Menteri turut diiringi Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.