MANILA: Filipina selaku Pengerusi ASEAN 2026 meminta Myanmar memberi “akses ringkas” kepada utusan khasnya terhadap Aung San Suu Kyi susulan laporan bahawa pemimpin itu dipindahkan ke tahanan rumah, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) menyatakan bahawa langkah itu akan membolehkan utusan khas berkenaan, Setiausaha Hal Ehwal Luar Ma. Theresa Lazaro, melaksanakan peranannya dalam mengadakan libat urus dengan “semua pihak berkepentingan dan pihak terlibat bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk dialog nasional yang inklusif.”
DFA memaklumkan Filipina mengalu-alukan laporan mengenai pemindahan Aung San Suu Kyi itu dan menyifatkannya sebagai “momentum positif” yang menunjukkan usaha Myanmar ke arah pelaksanaan penuh Konsensus Lima Perkara (5PC).
Pada masa sama, DFA meminta Myanmar meningkatkan “ketelusan yang lebih besar” berhubung tahanan rumah yang dikenakan terhadap pemimpin Myanmar yang digulingkan itu dengan membenarkannya berkomunikasi dengan keluarganya.
Menurut DFA, langkah itu akan “menunjukkan komitmen tulen terhadap perdamaian nasional.”
Filipina turut mengalu-alukan pengampunan besar-besaran yang diberikan Myanmar kepada lebih 1,500 tahanan politik sempena Hari Bulan Penuh Kason.
“Kami melihat perkembangan ini sebagai langkah penting dalam siri usaha membina keyakinan yang diperlukan bagi kestabilan nasional jangka panjang di Myanmar,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA-PNA