MOSCOW: Serangan semakin berkurangan dilaporkan di Ukraine dan Rusia selepas gencatan senjata sepihak yang diumumkan oleh Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky, mula berkuat kuasa pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kementerian Pertahanan Rusia melaporkan 53 dron Ukraine berjaya dipintas di wilayahnya dan di Semenanjung Crimea yang dikuasai, menurut agensi berita Rusia.
Tidak jelas sama ada dron itu ditembak jatuh sebelum permulaan gencatan senjata Zelensky, yang bermula pada tengah malam Rabu (2100 GMT Selasa).
Gencatan senjata sementara Rusia sendiri dijadual berkuat kuasa pada Jumaat dan Sabtu, ketika Moscow menyambut Hari Kemenangan pada 9 Mei, memperingati kekalahan Nazi Jerman oleh Kesatuan Soviet.
Serangan udara Rusia juga dilihat berkurangan semalaman selepas berpuluh-puluh orang terbunuh di Ukraine pada awal Selasa.
Menurut Tentera Udara Ukraine, dron menghampiri bandar timur Kharkiv selepas gencatan senjata Ukraine berkuat kuasa.
Rusia melancarkan serangan dengan tiga peluru berpandu dan 108 dron sejak 6 petang Selasa tetapi 89 dron berjaya dipintas.
Seorang wanita bagaimanapun dilaporkan terbunuh dalam serangan dron Rusia di wilayah Sumy di timur laut.
Gabenor tentera Oleh Hryhorov dalam hantaran Telegram mendakwa Rusia menyerang sebuah kereta orang awam. Pemandu dibawa ke hospital dengan kecederaan, manakala seorang penumpang wanita maut.
Wilayah Sumy bersempadan dengan Rusia dan terjejas teruk akibat pertempuran dalam konflik yang berlarutan lebih empat tahun.
-- BERNAMA-dpa