Pengerusi Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Indonesia dan dua pegawai utama meletak jawatan

OJK menjelaskan bahawa peletakan jawatan itu dikemukakan secara rasmi mengikut undang-undang semasa dan akan diproses di bawah undang-undang tersebut.
JAKARTA: Pengerusi Lembaga Pesuruhjaya Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan (OJK) Indonesia, Mahendra Siregar, bersama dua pegawai utama lain telah meletakkan jawatan mereka pada Jumaat.
Dua lagi merupakan Ketua Eksekutif OJK untuk Pasaran Modal, Kewangan Derivatif dan Penyeliaan Bursa Karbon (KE PMDK), Inarno Djajadi serta Timbalan Pesuruhjaya OJK untuk Penyeliaan Penerbit, Urus Niaga Sekuriti, Pemeriksaan Khas, Kewangan Derivatif dan Bursa Karbon (DKTK), IB Aditya Jayaantara.
OJK menjelaskan bahawa peletakan jawatan itu dikemukakan secara rasmi mengikut undang-undang semasa dan akan diproses di bawah undang-undang tersebut.
"Mahendra Siregar menyatakan bahawa peletakan jawatan beliau, bersama-sama dengan KE PMDK dan DKTK, mencerminkan tanggungjawab moral untuk menyokong pelaksanaan langkah pemulihan yang diperlukan," katanya melalui satu kenyataan semalam.
Kenyataan itu tidak menyatakan alasan peletakan jawatan.
Sementara itu, OJK berkata tugas dan tanggungjawab Pengerusi Lembaga Pesuruhjaya, KE PMDK, dan DKTK akan dilaksanakan selaras dengan undang-undang serta prosedur tadbir urus yang berkuat kuasa bagi memastikan kesinambungan dasar, penyeliaan, dan perkhidmatan kepada orang ramai termasuk pemain industri perkhidmatan kewangan.
"OJK kekal komited untuk mengekalkan kepercayaan awam dan industri melalui pelaksanaan prinsip tadbir urus yang baik, ketelusan serta akauntabiliti dalam semua proses institusi," katanya.
Awal semalam, Presiden Pengarah Bursa Saham Indonesia (IDX) Iman Rachman turut mengumumkan peletakan jawatannya berikutan pergolakan pasaran selama dua hari, menyifatkan langkah itu sebagai satu bentuk tanggungjawab peribadi terhadap turun naik pasaran baru-baru ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


