BANGKOK: Pengesahan identiti biometrik adalah antara langkah dan garis panduan baharu yang dikeluarkan oleh Bank of Thailand (BoT) bagi memerangi penipuan perbankan di Thailand.

Dalam satu kenyataan, Gabenor BoT, Sethaput Suthiwartnarueput berkata, langkah baharu itu penting untuk melindungi wang simpanan pelanggan berikutan peningkatan kes penipuan - di mana modus operandi dan taktik yang digunakan terus berkembang dari semasa ke semasa.

"Bagi memastikan saluran perbankan dan pembayaran kekal selamat dan terjamin, BoT menggesa semua institusi kewangan untuk melaksanakan langkah keselamatan tambahan secepat mungkin demi melindungi wang simpanan pelanggan.

"Penipuan perbankan telah menyebabkan pelanggan mengalami kerugian besar dan menjejaskan keyakinan mereka terhadap perbankan digital.

"Oleh itu, bank komersial harus sentiasa mengemas kini sistem keselamatan perbankan mudah alih mereka untuk membendung masalah ini," katanya dalam satu kenyataan.

Untuk pengesahan identiti biometrik, Sethaput berkata syarat berkenaan diperlukan apabila pelanggan ingin membuat pemindahan dalam talian atau meningkatkan had pemindahan harian mereka melebihi 50,000 baht.

"Bank juga akan menyemak semula had pemindahan perbankan harian bagi kumpulan pelanggan yang berbeza untuk mengurangkan risiko," katanya.

Selain itu, Sethaput berkata pelanggan bank akan dihadkan kepada satu "username" satu peranti mudah alih dan mereka mesti dimaklumkan untuk setiap transaksi.

"Semua bank akan menyediakan khidmat pelanggan, termasuk talian hotline 24 jam untuk pelanggan melaporkan insiden penipuan jika mereka mengesyaki bahawa mereka telah menjadi mangsa penipuan," katanya.

Sethaput berkata bank dikehendaki melaporkan transaksi yang mencurigakan kepada Pejabat Pencegahan Pengubahan Wang Haram untuk menggantung sementara akaun berkenaan.

Bank juga harus mengehadkan penghantaran SMS dengan URL yang meminta maklumat peribadi seperti kata laluan dan nombor kad pengenalan kepada pelanggan, katanya.

Sementara itu, ahli Persatuan Jurubank Thai (TBA) bersetuju untuk mematuhi langkah baharu BoT.

"Bank perdagangan telah meningkatkan teknologi digital mereka untuk memerangi penipuan kewangan," katanya. - BERNAMA