DUNIA
Penggodam berkaitan Iran ugut dedah e-mel pembantu Trump, FBI lancar siasatan

Kumpulan itu mendakwa memiliki sekitar 100 gigabait e-mel daripada akaun Ketua Staf White House Susie Wiles, peguam Trump Lindsey Halligan, penasihat Roger Stone, serta Stormy Daniels. - Foto REUTERS
WASHINGTON: Sekumpulan penggodam yang dikaitkan dengan Iran telah mengancam untuk mendedahkan lebih banyak e-mel yang didakwa dicuri daripada kalangan pembantu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Ancaman ini muncul selepas kumpulan tersebut, yang menggunakan nama samaran “Robert”, sebelum ini telah mengedarkan sebahagian kandungan kepada media menjelang pilihan raya AS 2024.
Menurut laporan, kumpulan itu mendakwa memiliki sekitar 100 gigabait e-mel daripada akaun Ketua Staf White House Susie Wiles, peguam Trump Lindsey Halligan, penasihat Roger Stone, serta Stormy Daniels, yang pernah menjadi pengkritik Trump.
Mereka juga menyatakan hasrat untuk menjual bahan tersebut, namun tidak memberikan butiran lanjut mengenai kandungannya.FBI dalam kenyataannya menegaskan bahawa sebarang pelanggaran keselamatan negara akan disiasat dan didakwa sepenuhnya.
“Sesiapa yang terlibat dalam pelanggaran keselamatan negara akan disiasat dan didakwa sepenuhnya mengikut undang-undang,” kata Pengarah FBI, Kash Patel.
Kumpulan “Robert” mula muncul pada penghujung kempen pilihan raya 2024, apabila mereka mendakwa berjaya mengakses e-mel beberapa sekutu Trump.
Sebahagian kandungan yang dibocorkan telah disahkan oleh media, termasuk dokumen kewangan dan komunikasi kempen pilihan raya.
Walaupun kebocoran tersebut tidak mengubah keputusan pilihan raya yang dimenangi Trump, ia menimbulkan kebimbangan serius mengenai keselamatan siber dan campur tangan asing dalam politik AS.
Jabatan Kehakiman AS sebelum ini menuduh Pengawal Revolusi Iran sebagai dalang di sebalik operasi penggodaman ini.
Kumpulan itu sebelum ini mendakwa telah “bersara”, namun kembali aktif selepas konflik ketenteraan terbaru antara Iran dan Israel.
Kini, mereka dilaporkan sedang merancang untuk menjual e-mel yang dicuri dan mahu isu ini mendapat liputan meluas.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami