Skip to main content

Malaysia

Trend kumpul cap tarik minat pengunjung pelbagai generasi ke PBAKL 2026

KUALA LUMPUR, 31 Mei -- Sharifah Soffea Aina Syed Shamsul Anuar (dua, kanan) bersama adik-beradiknya bersama ibu saudara mereka, Sharifah Suryati Syed Ali (dua dari kiri) yang menyertai aktiviti mengumpul cap selepas melihat perkongsian mengenainya di media sosial ketika ditemui sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-43 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Sharifah Soffea (dua, kanan) dan adik-adiknya bersama Sharifah Suryati (dua kiri) masing-masing menunjukkan koleksi cap dalam buku yang dibawa mereka, pada PBAKL ke-43 di WTC, 31 Mei 2026. -- fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Aktiviti mengumpul cap atau stamp collecting daripada pelbagai reruai di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 menjadi antara tarikan baharu yang semakin mendapat sambutan apabila pengunjung sanggup menjelajah setiap reruai bagi melengkapkan koleksi cap dalam buku yang dibawa mereka. 

Fenomena yang bermula secara kecil-kecilan pada PBAKL tahun lepas kini berkembang menjadi satu trend tersendiri sehingga melahirkan komuniti pengumpul cap yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur, daripada kanak-kanak dan remaja hinggalah golongan dewasa.

Pegawai Komunikasi Korporat Perbadanan Kota Buku (PKB) Mohd Hairul Hasraf Niwan berkata PKB turut menyokong trend berkenaan dengan menyediakan kira-kira 12 reka bentuk cap yang berbeza untuk dikumpulkan pengunjung, khususnya buat mereka yang menjadikan aktiviti itu sebagai hobi.

Beliau berkata berbanding tahun lepas yang hanya menyaksikan beberapa reruai menawarkan cap, hampir semua reruai di PBAKL 2026 kini menyediakan cap masing-masing sebagai daya tarikan kepada pengunjung.

“Tahun lepas hanya beberapa reruai menyediakan cap. Ketika itu, aktiviti tersebut belum begitu meluas. Pada PBAKL tahun ini, hampir semua reruai menyediakan cap untuk dikumpul oleh pengunjung. 

“Ada reruai yang mensyaratkan pengunjung mengikuti media sosial, menyertai aktiviti tertentu atau membeli buku dan sebagainya bagi mendapatkan cap berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di PBAKL 2026 di sini semalam. 

Mohd Hairul Hasraf berkata aktiviti itu dilihat sebagai pendekatan kreatif untuk menarik minat masyarakat, khususnya golongan muda mendekati dunia buku dan membudayakan amalan membaca.

Trend berkenaan jelas dapat dilihat menerusi penyertaan pengunjung daripada pelbagai lapisan umur termasuk pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi serta golongan dewasa yang menjadikan aktiviti itu sebagai hobi baharu ketika berkunjung ke pesta buku.

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Alam Sekitar Nur Farah Najihah Mohd Saifulnizam, 23, dia mengetahui tentang aktiviti mengumpul cap selepas melihat perkongsian mengenainya di media sosial.

“Saya mengetahui reruai yang menawarkan cap melalui Threads dan Instagram. Aktiviti ini membuatkan saya lebih teruja untuk meneroka lebih banyak reruai. Setakat ini, saya berjaya mengumpul lebih 10 cap daripada pelbagai reruai yang saya kunjungi,” katanya.

Sementara itu, pelajar tingkatan tiga dari Melaka, Sharifah Soffea Aina Syed Shamsul Anuar, 15, berkata aktiviti itu menjadi pelengkap kepada kunjungannya ke PBAKL yang pada asalnya bertujuan membeli buku.

“Saya datang ke sini untuk membeli buku, tetapi dalam masa yang sama mengambil peluang mengumpul cap kerana setiap satu mempunyai reka bentuk yang unik. Ada cap yang percuma dan ada juga yang memerlukan pembelian. 

“Saya suka mengumpulkannya kerana ia boleh dijadikan koleksi dan kenangan apabila buku cap ini penuh nanti,” katanya sambil menambah dia mula mengenali aktiviti itu selepas diperkenalkan oleh ibu saudaranya yang turut aktif mengumpul cap.

Berkongsi minat yang sama, Sharifah Suryati Syed Ali, 54, ibu saudara kepada Sharifah Soffea, berkata dia mula berjinak-jinak dengan hobi berkenaan sejak hujung tahun lepas setelah melihat perkongsian mengenai aktiviti itu menerusi TikTok.

“Saya dan rakan-rakan gemar mencari lokasi yang menawarkan cap untuk dikumpul. Jadi, pada PBAKL tahun ini saya merebut peluang mengajak anak-anak saudara saya mengumpul cap di sini kerana aktiviti ini merupakan hobi yang amat menyeronokkan,” katanya.

Kemunculan komuniti pengumpul cap yang merangkumi pelbagai generasi menunjukkan aktiviti berkenaan bukan lagi sekadar aktiviti sampingan di pesta buku, sebaliknya menjadi medium yang menggalakkan pengunjung meneroka lebih banyak reruai serta mendekati dunia buku dan budaya membaca.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement