RAMALLAH (Palestin): Penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara berdasarkan sempadan 1967 adalah penting bagi memastikan keselamatan dan kestabilan di rantau itu, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Jurucakap kepada Presiden Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rudeineh pada Khamis malam menegaskan perkara itu sebagai respons terhadap kenyataan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bahawa "tidak akan ada negara Palestin".

Berdasarkan kepada situasi semasa, Abu Rudeineh menyuarakan kebimbangan dengan menyatakan bahawa "seluruh wilayah berada di ambang kehancuran kerana dasar agresif yang dilaksanakan rejim Israel terhadap rakyat Palestin dan menafikan hak-hak mereka."

Beliau menegaskan bahawa "kenyataan kecaman dan penolakan" tidak lagi memadai.

"Sekiranya terdapat kemahuan antarabangsa untuk memulihkan kestabilan di rantau ini dan dunia, negara Palestin yang merdeka perlu diiktiraf berdasarkan sempadan 4 Jun 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya," kata beliau.

-- BERNAMA