Pengiktirafan Negara Palestin: Singapura timbang semula pendirian jika konflik Gaza berlarutan

Dr Vivian Balakrishnan (foto) menegaskan pengiktirafan bergantung kepada kestabilan politik Palestin dan penolakan keganasan secara mutlak. -Gambar fail/Bernama
SINGAPURA: Singapura menyatakan kesediaan untuk menilai semula pendiriannya berhubung pengiktirafan negara Palestin sekiranya konflik di Gaza terus meruncing atau jika Israel mengambil langkah yang menjejaskan penyelesaian dua negara, menurut Menteri Luar Negeri, Dr Vivian Balakrishnan.
Ringkasan AI
- Singapura bersedia menilai semula pendirian terhadap pengiktirafan negara Palestin jika konflik Gaza berlarutan atau Israel menjejaskan penyelesaian dua negara.
- Menteri Luar, Dr Vivian Balakrishnan, menegaskan pengiktirafan bergantung kepada kestabilan politik Palestin dan penolakan keganasan secara mutlak.
- Singapura turut umumkan sekatan bersasar terhadap pelampau sayap kanan Israel dan telah salurkan lebih S$24 juta bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
“Kami akan mengiktiraf Negara Palestin apabila ia mempunyai kerajaan yang berkesan, menerima hak Israel untuk wujud dan menolak keganasan secara mutlak,” katanya sambil menekankan bahawa pengiktirafan tersebut bergantung kepada kestabilan dan kesatuan politik dalam wilayah Palestin.
Kenyataan itu dibuat susulan tindakan Britain, Kanada, Australia dan Portugal yang secara rasmi mengiktiraf negara Palestin pada 21 September, menyertai lebih 140 negara lain yang telah berbuat demikian.
Langkah tersebut dilihat sebagai tekanan terhadap Israel untuk menghentikan serangan di Gaza dan kembali kepada rundingan damai.
Singapura turut mengumumkan akan mengenakan sekatan bersasar terhadap pemimpin kumpulan pelampau sayap kanan yang terlibat dalam keganasan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat.
Butiran lanjut mengenai sekatan itu akan diumumkan kemudian.
Dr Balakrishnan turut menyatakan bahawa Singapura telah menyalurkan lebih S$24 juta (RM78.7 juta) dalam bentuk bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, termasuk bekalan perubatan dan rawatan untuk mangsa amputasi di Jordan.
Beliau menegaskan bahawa tindakan Israel yang menafikan bantuan kemanusiaan secara sengaja adalah tidak boleh diterima dan mungkin melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


