Senator Amerika Syarikat menyifatkan British dan agensi pengintipan Amerika Syarikat (AS) telah menunjukkan “sikap tidak hormat yang menakjubkan” terhadap privasi ekoran laporan pintasan dan penyimpanan imej kamera web yang digunakan oleh berjuta-juta pengguna Yahoo.

Akhbar Guardian melaporkan, fail-fail daripada agensi pengintipan komunikasi British GCHQ yang didedahkan oleh bekas kontraktor Agensi Keselamatan Negara Amerika Syarikat, Edward Snowden menunjukkan bagaimana program 'Optic Nerve' mengumpul dan menyimpan imej-imej perbualan kamera web tanpa mengira samada mereka adalah suspek atau tidak.

Laporan Guardian turut menyatakan , dalam satu rempoh enam bulanpada 2008, agensi tersebut telah mengumpul imej-imej kamera web daripada lebih 1.8 juta pengguna di seluruh dunia.

Data yang dikumpul, yang boleh didapati penganalisis NSA melalui rutin perkongsian maklumat, mengandungi sejumlah besar merupakan kandungan seksual.

“Kami amat berdukacita dengan laporan akhbar hari ini bahawa ramai individu -- termasuk rakyat Amerika Syarikat yang mematuhi undang-undang -- yang mungkin mempunyai video peribadi mereka dan keluarga, yang dipintas dan disimpan walaupun mereka bukan orang yang disyaki melakukan kesalahan,” kata Senator Amerika Syarikat Ron Wyden , Mark Udall dan Martin Heinrich dalam satu kenyataan bersama.

"Sekiranya laporan ini benar, ia akan menunjukkan betapa tidak hormatnya mereka terhadap privasi dan kebebasan awam rakyat yang mematuhi undang-undang," tambah mereka.

Mereka berjanji akan menyiasat aktiviti terbabit sebagai sebahagian daripada semakan komprehensif berterusan terhadap program pengawasan, dengan penelitian kepada mana-mana peranan yang mungkin dimainkan oleh agensi AS.
Yahoo yang dikatakan dipilih kerana sistem kamera web mereka telah dikenali untuk digunakan oleh sasaran GCHQ, meluahkan rasa marah di atas laporan tersebut .
"Kami tidak mengetahui mahupun menyokong aktiviti yang dilaporkan ini,” ujar seorang jurucakap firma teknologi Amerika Syarikat itu menerusi emel kepada AFP.
"Laporan ini, sekiranya benar, mewakili tahap baru pencabulan privasi pengguna kami yang benar-benar tidak boleh diterima.
"Kami komited untuk memelihara kepercayaan dan keselamatan pengguna kami dan meneruskan usaha kami untuk memajukan penyulitan data menyeluruh dalam semua perkhidmatan kami,” tambahnya.
Dokumen-dokumen GCHQ dari 2008 hingga 2010 yang didedahkan tersebut dengan jelas merujuk kepada program pengawasan itu, walaupun Guardian berkata maklumat kemudiannya mencadangkan ia masih aktif pada tahun 2012.
Data yang dikumpul telah digunakan untuk eksperimen dalam pengenalan wajah automatik, dan juga untuk memantau sasaran sedia ada dan baharu GCHQ, lapor akhbar British terbabit.
Dalam satu kenyataan kepada Guardian, GCHQ berkata semua tugasan "dijalankan selaras dengan rangka kerja undang-undang dan polisi yang ketat, yang memastikan bahawa aktiviti yang dilakukan mempunyai kuasa, perlu dilakukan dan seimbang".