Pengunjung 'serbu' Zoo Ueno susulan pengumuman kepulangan panda ke China

Pasangan kembar berusia empat tahun itu akan berlepas ke China pada akhir Januari di bawah perjanjian pajakan dua hala. - AP
TOKYO: Orang ramai sanggup beratur pada Sabtu di Zoo Ueno di sini pada hujung minggu pertama sejak diumumkan bahawa pasangan panda gergasi kembar, Xiao Xiao dan adiknya Lei Lei, akan meninggalkan Jepun bulan depan, dengan ramai pengunjung datang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada haiwan itu, lapor Agensi Berita Kyodo.
Seorang wanita berusia 45 tahun dari Daerah Taito, Tokyo, berkata beliau kerap berkunjung untuk melihat panda berkenaan dan menyifatkan haiwan itu sebagai "comel dan menenangkan." Beliau menambah pengumuman mengenai kepulangan haiwan itu ke China dibuat secara mengejut dan merupakan satu "kejutan."
"Sudah tentu saya ingin panda baharu tiba, tetapi dengan hubungan dengan China yang semakin meruncing, ia mungkin sukar buat masa ini," katanya.
Orang ramai daripada pelbagai peringkat usia beratur sebelum zoo dibuka walaupun dalam cuaca sejuk. Kanak-kanak yang membawa patung permainan panda turut kelihatan dalam kalangan orang ramai.
Hubungan China-Jepun merosot dengan ketara sejak Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi bulan lalu memberi bayangan bahawa Tokyo boleh memberi kebenaran kepada Pasukan Pertahanan Diri untuk bertindak sekiranya Beijing mengambil tindakan paksaan terhadap Taiwan, walaupun Jepun tidak diserang secara langsung.
Dengan prospek pinjaman panda baharu dari China yang masih tidak menentu, kepulangan pasangan kembar itu bermakna haiwan berkenaan, yang sekian lama dihargai sebagai simbol persahabatan dua hala sejak pasangan pertama tiba pada 1972, tidak akan ada lagi berada di Jepun.
Awal bulan ini, kerajaan metropolitan Tokyo memaklumkan bahawa pasangan kembar berusia empat tahun itu akan berlepas ke China pada akhir Januari di bawah perjanjian pajakan dua hala. Xiao Xiao dan Lei Lei tinggal di Zoo Ueno sejak dilahirkan pada 2021.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


