SINGAPURA: Operasi dan pengurusan dana kewangan berdaulat antara topik yang dibincangkan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong ketika kunjungan hormat di Istana, Jalan Orchard, Singapura pada Khamis.

Dalam pertemuan kira-kira 30 minit itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan beberapa perkara lain termasuk kerjasama ekonomi antara Sarawak dan republik itu.

Pejabat Premier Sarawak dalam kenyataannya memberitahu perjumpaan itu turut membincangkan subjek kepentingan bersama Sarawak dan Singapura serta isu-isu semasa yang mempengaruhi rantau ini dan dunia.

Lawatan rasmi ke Singapura itu turut disertai tiga timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr. Azfar Mohamad Mustafar.

Terdahulu, Abang Johari dan anggota delegasi mengadakan kunjungan hormat kepada, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Singapura, Lawrence Wong diikuti Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras Keselamatan Negara, Teo Chee Hean.

Delegasi Abang Johari turut melawat Temasek Holdings Private Ltd. dan diberi taklimat mengenai operasi dan pengurusan cabang pelaburan domestik kerajaan Singapura.