BUTEMBO: Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh termasuk dua anggota polis dalam serangan ke atas penjara di bandar Butembo, Congo pada Rabu.

Serangan ke atas Penjara Kakwangura itu dilancarkan oleh pemberontak Pasukan Demokratik Bersekutu (ADF) sehingga menyebabkan kira-kira 750 orang banduan melarikan diri semasa pemindahan tahanan.

Menurut Kapten Anthony Mwalsuhay yang juga jurucakap tentera Congo, tiga penyerang ADF turut mati terbakar dalam serangan tersebut.

Katanya, pemberontak melancarkan serangan berdasarkan maklumat banduan wanita yang dikaitkan dengan kumpulan mereka akan dipindahkan dari Beni ke Butembo.

Datuk Bandar Butembo, Mowa Baeki-telly memberitahu, penjara itu menahan lebih 800 banduan dan kini hanya tinggal kira-kira 50 orang.

Anggota masyarakat sivil menuntut kerajaan mengambil lebih banyak tindakan dan menyediakan peralatan yang sewajarnya kepada tentera darat untuk bertindak dalam kes seperti itu.

Pada Oktober 2020, satu lagi serangan pemberontak ke atas Penjara Kangbayi, menyebabkan kira-kira 1,300 tahanan melarikan diri di Beni, di wilayah Kivu utara.