THE HAGUE: Ratko Mladic, bekas komander tentera Serb Bosnia yang disabitkan dengan kesalahan genosid, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, meninggal dunia pada usia 84 tahun ketika menjalani hukuman penjara seumur hidup di pusat tahanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di The Hague.
Mahkamah PBB mengesahkan kematiannya pada Khamis dan memaklumkan pihak berkuasa Belanda telah memulakan siasatan berhubung insiden berkenaan.
Mahkamah itu turut berkata seorang hakim kanan telah mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan bagi menentukan keadaan yang membawa kepada kematiannya.
Mladic dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 2017 selepas didapati bersalah atas pelbagai jenayah yang dilakukan ketika perang di bekas Yugoslavia antara 1992 hingga 1995.
Keputusan itu kemudian dikekalkan oleh mahkamah rayuan PBB pada 2021.
Dikenali sebagai “Penyembelih Bosnia”, Mladic melarikan diri selama 16 tahun selepas tamat perang Bosnia sebelum berjaya dikesan di kawasan pedalaman Serbia pada 2011 dan dibawa ke The Hague untuk dibicarakan.
Mahkamah sebelum ini menolak permohonannya untuk dibebaskan pada Mei lalu meskipun keadaan kesihatannya dilaporkan semakin merosot.
Hakim berpendapat beliau menerima rawatan perubatan yang menyeluruh dan berperikemanusiaan di pusat tahanan berkenaan.
Menurut peguamnya, Mladic telah lama terlantar di katil atau menggunakan kerusi roda, selain dipercayai mengalami strok yang menyebabkan beliau hampir tidak dapat bertutur.
Sebagai komander tentera Serb Bosnia, Mladic mengetuai operasi ketenteraan terhadap tentera Croat Bosnia dan Bosniak (penduduk Islam Bosnia).
Pasukannya didapati bertanggungjawab dalam kempen pembersihan etnik yang menyasarkan penduduk bukan Serb di Bosnia-Herzegovina.
Antara jenayah paling serius yang dikaitkan dengannya ialah pengepungan Sarajevo yang mengorbankan lebih 10,000 orang, serta pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica pada 1995 yang meragut kira-kira 8,000 nyawa lelaki dan kanak-kanak lelaki Muslim Bosnia.
Seorang mangsa yang terselamat daripada tragedi Srebrenica, Hasan Hasanovic, berkata kematian Mladic tidak mengakhiri penderitaan mangsa dan keluarga mereka.
“Kematian beliau tidak membawa penamat kepada kesan genosid yang berlaku. Kami masih hidup dengan akibat sebuah negara yang berpecah-belah serta penafian terhadap genosid itu,” katanya.
Bagaimanapun, pemimpin Serb Bosnia, Milorad Dodik, memberitahu Reuters bahawa Mladic dihormati oleh sebahagian masyarakat Serb dan dianggap sebagai individu yang mempertahankan kepentingan mereka ketika perang.
Mladic tidak pernah mengiktiraf bidang kuasa mahkamah PBB sepanjang perbicaraannya dan kekal ditahan di The Hague sejak penangkapannya pada 2011.