DUNIA
Pentadbiran Trump ambil langkah bubarkan USAID, hapuskan jawatan yang masih ada

Sebilangan kakitangan USAID masih kelihatan di pejabat selepas pentadbiran AS mengambil langkah membubarkan agensi itu, di Washington, DC, AS, 28 Mac 2025. REUTERS
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sedang mengambil langkah untuk membubarkan Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID) secara rasmi serta menghapuskan jawatan yang masih wujud, lapor Xinhua.
Jabatan Negara AS dan USAID memaklumkan Kongres AS pada Jumaat mengenai hasrat mereka untuk menyusun semula agensi itu, yang melibatkan penyesuaian semula beberapa fungsi tertentu USAID dengan Jabatan Negara menjelang 1 Julai.
Fungsi lain yang tidak sejajar dengan keutamaan pentadbiran Trump akan dihentikan, menurut kenyataan Jabatan Negara.
"Bantuan asing yang dilaksanakan dengan betul boleh memajukan kepentingan negara kita, melindungi sempadan kita dan mengukuhkan kerjasama dengan sekutu utama. Malangnya, USAID telah lama menyimpang daripada matlamat asalnya," kata Setiausaha Negara AS Marco Rubio dalam kenyataan itu."Kami sedang mengubah hala tuju program bantuan asing agar sejajar secara langsung dengan kepentingan terbaik Amerika Syarikat dan rakyatnya," katanya.
"Kami meneruskan program menyelamatkan nyawa yang penting serta membuat pelaburan strategik yang mengukuhkan rakan kongsi dan negara kita sendiri."
Menerusi satu memo yang dihantar kepada petugas USAID pada Jumaat, mereka dimaklumkan bahawa semua jawatan yang tidak diwajibkan oleh undang-undang akan dihapuskan.
Bagaimanapun, USAID mengekalkan pasukan tindak balas bencana meskipun penyusunan semula sedang berjalan, seperti yang dilihat dalam tindak balas AS terhadap gempa bumi dahsyat di Myanmar.
Jurucakap Jabatan Negara Tammy Bruce berkata pada Jumaat USAID masih bersedia memberikan bantuan segera, termasuk bekalan makanan dan air bersih yang diperlukan untuk menyelamatkan nyawa dalam situasi bencana.
"Amerika Syarikat sedang menilai keperluan bantuan berdasarkan permintaan serta laporan terkini," katanya dalam satu taklimat media.
--BERNAMA-XINHUA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami