INTERNATIONAL
Pentadbiran Trump arah saring media sosial pemohon visa yang pernah ke Gaza

Semua pemohon visa Amerika termasuk visa imigran dan bukan imigran yang pernah berada di Semenanjung Gaza pada atau selepas 1 Januari 2007 diarah menjalani semakan latar belakang media sosial. - Gambar hiasan Reuters
WASHINGTON: PentadbiranPresiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan semua pemohon visa AS termasuk visa imigran dan bukan imigran yang pernah berada di Semenanjung Gaza pada atau selepas 1 Januari 2007, menjalani semakan latar belakang media sosial, menurut arahan sulit dalaman Jabatan Negara AS yang dilihat oleh Reuters.
Arahan itu turut merangkumi pekerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang pernah berada di wilayah Palestin itu sama ada atas kapasiti rasmi atau diplomatik, walaupun untuk tempoh masa singkat.
“Jika semakan terhadap aktiviti media sosial menemui maklumat yang berpotensi menimbulkan kebimbangan keselamatan, maka satu Laporan Keselamatan Rasmi (SAO) (SAO) perlu dikemukakan,” kata arahan sulit dalaman itu.
SAO merupakan siasatan antara agensi untuk menentukan sama ada pemohon visa menimbulkan risiko terhadap keselamatan negara AS.Arahan tersebut telah dihantar ke semua pejabat diplomatik dan konsular AS di seluruh dunia.
Langkah ini dilaksanakan ketika pentadbiran Trump giat membatalkan ratusan visa, termasuk status penduduk tetap sah di bawah undang-undang tahun 1952 yang membenarkan pengusiran mana-mana pendatang yang dianggap menjejaskan dasar luar negara AS oleh Setiausaha Negara.
Arahan sulit dalaman bertarikh 17 April itu ditandatangani oleh Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, yang sebelum ini menyatakan, beliau mungkin telah membatalkan lebih 300 visa setakat hujung Mac.
Jabatan Negara AS tidak memberikan sebarang maklum balas segera ketika diminta mengulas isu ini.
Pegawai-pegawai pentadbiran Trump sebelum ini memaklumkan, pemegang visa pelajar juga berisiko diusir dari AS sekiranya mereka menyatakan sokongan terhadap Palestin atau mengkritik tindakan Israel dalam perang di Gaza - sesuatu yang menurut mereka bercanggah dengan kepentingan dasar luar AS.
Namun, pengkritik Trump menyifatkan, tindakan ini sebagai serangan terhadap kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Pindaan Pertama Perlembagaan AS, yang melindungi hak bersuara tanpa mengira status imigresen.
Antara kes yang paling mendapat perhatian ialah penahanan pelajar Universiti Tufts dari Turkiye, Rumeysa Ozturk oleh ejen bersenjata bertopeng bulan lalu - insiden yang dirakam dalam sebuah video tular.
Ketika ditanya mengenai penahanan Ozturk dalam satu sidang media, Rubio berkata: “Setiap kali saya jumpa orang fanatik seperti ini, saya batalkan visa mereka,” sambil memberi amaran bahawa lebih ramai individu bakal kehilangan visa mereka. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami