DUNIA
Pentadbiran Trump pecat lebih 1,300 kakitangan Jabatan Negara dalam pelan penyusunan semula besar-besaran

Rubio menyampaikan kenyataan kepada wartawan dalam sidang media di Kuala Lumpur. Setiausaha Negara Amerika Syarikat itu berada di Malaysia sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58, dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan. - Gambar AP
WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat memulakan langkah pemecatan lebih 1,300 kakitangannya sebagai sebahagian daripada pelan penyusunan semula yang digerakkan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump - satu langkah yang dikritik hebat kerana dikhuatiri menjejaskan kepimpinan global Washington serta keupayaan negara itu menangani ancaman antarabangsa.
Menurut seorang pegawai kanan Jabatan Negara yang enggan dinamakan, notis pemberhentian telah dihantar kepada 1,107 penjawat awam dan 246 pegawai perkhidmatan luar negara yang berkhidmat dalam tugasan domestik.
Berdasarkan notis dalaman yang diperoleh The Associated Press, pegawai perkhidmatan luar akan terus diletakkan dalam cuti pentadbiran selama 120 hari sebelum perkhidmatan mereka ditamatkan secara rasmi.
Manakala bagi penjawat awam lain, tempoh pemisahan ditetapkan selama 60 hari.“Sebagai sebahagian daripada penyusunan semula jabatan... operasi domestik disusun semula untuk menumpukan kepada keutamaan diplomatik,” jelas notis itu.
“Pengurangan tenaga kerja dirancang dengan teliti agar hanya melibatkan fungsi bukan teras, pejabat bertindih atau yang boleh disatukan bagi meningkatkan kecekapan.”
Langkah itu disifatkan oleh Presiden Trump, Setiausaha Negara Marco Rubio dan sekutu Republikan sebagai sesuatu yang perlu dan sudah lama tertangguh bagi menjadikan jabatan lebih ramping, tangkas dan efisien.
Namun, tindakan itu dikecam hebat oleh diplomat semasa dan bekas pegawai Jabatan Negara yang berpandangan bahawa pemotongan tersebut akan melemahkan pengaruh Amerika Syarikat serta keupayaannya menghadapi cabaran keselamatan global yang semakin kompleks.
Penyusunan semula besar-besaran operasi diplomatik AS
Pentadbiran Trump secara agresif berusaha mengecilkan saiz kerajaan persekutuan, termasuk melalui penamatan besar-besaran kakitangan dan penyusunan semula pelbagai agensi seperti USAID dan Jabatan Pendidikan.
Keputusan Mahkamah Agung baru-baru ini membuka jalan kepada pelaksanaan pemberhentian kerja, walaupun beberapa saman undang-undang mencabar kesahihan langkah itu masih berlangsung.
Pada Khamis, jabatan itu telah memaklumkan kepada kakitangan bahawa notis pemecatan akan mula diedarkan.
Walaupun angka pemecatan ini besar, ia masih lebih rendah daripada jangkaan awal.
Dalam surat kepada Kongres pada Mei, jabatan itu memaklumkan bahawa ia mempunyai lebih 18,700 kakitangan berpangkalan di AS dan bercadang mengurangkan tenaga kerja sebanyak 18 peratus melalui pemecatan dan peletakan jawatan secara sukarela.
Rubio ketika lawatan ke Kuala Lumpur berkata, "Langkah ini dibuat secara teliti bagi memastikan Jabatan Negara lebih efisien dan fokus. Ia bukan bertujuan semata-mata untuk menyingkirkan orang, tetapi apabila sesebuah biro ditutup, jawatan di bawahnya juga tidak lagi diperlukan."
Tambah beliau, sebahagian pemotongan melibatkan jawatan kosong atau yang bakal dikosongkan melalui skim persaraan awal.
Pengkritik dakwa AS akan kehilangan pengaruh global
Persatuan Akademi Diplomatik Amerika yang dianggotai ratusan bekas diplomat kanan, menyifatkan tindakan pemecatan ini sebagai tamparan hebat terhadap keupayaan negara itu untuk memahami, menjelaskan dan bertindak balas terhadap dunia yang semakin mencabar.
“Pada saat Amerika Syarikat sedang berdepan cabaran luar biasa daripada pesaing strategik, konflik berpanjangan di Eropah Tengah, Afrika dan Timur Tengah serta ancaman keselamatan baharu, tindakan melumpuhkan kekuatan operasi Jabatan Negara adalah satu bentuk vandalisme,” jelas kenyataan persatuan itu minggu lalu.
Gordon Duguid, veteran perkhidmatan luar selama 31 tahun yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran Trump, George W. Bush dan Obama, berkata: “Mereka membuat keputusan tanpa menilai keupayaan individu yang terlibat. Mereka tidak mencari kepakaran, sebaliknya, hanya mahukan individu yang menurut tanpa soal. Itu resipi untuk bencana.”
Fasa akhir penyusunan semula jabatan
Dalam satu makluman pada Khamis, Timbalan Setiausaha bagi Pengurusan dan Sumber, Michael Rigas berkata: “Sebaik sahaja semua notis diserahkan, jabatan akan memasuki fasa akhir penyusunan semula dan menumpukan kepada pelaksanaan diplomasi berasaskan hasil.”
Pelan penyusunan semula terkini yang dimaklumkan kepada Kongres pada Mei turut merangkumi pemotongan program yang lebih besar berbanding yang diumumkan sebulan sebelumnya - termasuk penutupan beberapa bahagian berkaitan penyelesaian semula rakyat Afghanistan yang membantu tentera AS serta program berkaitan pelarian, hak asasi manusia dan promosi demokrasi.
Menurut surat itu, lebih 300 biro dan pejabat terlibat dalam penyusunan semula kali ini.
Jabatan menyatakan, beberapa fungsi akan dihapuskan kerana bertindih atau tidak jelas, dengan keutamaan diberikan kepada pengurangan birokrasi demi melaksanakan pendekatan diplomasi moden yang lebih berkesan. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami